Berita Hari Ini

PBBNK gesa mansuh GST

ALOR SETAR – Pertubuhan Bantuan Bertindak Negeri Kedah (PBBNK) menggesa kerajaan pusat memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa April lalu.

Pengerusinya, Thana Chew Ne Meng berkata, ia kerana pelaksanaan cukai itu amat membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

“Kita minta kerajaan yang dikatakan prihatin dan berjiwa rakyat untuk segera memansuhkan GST yang jelas membebankan rakyat termasuk warga emas yang tidak bekerja.

“Semasa kempen PRU13 mereka janji ‘Rakyat Didahulukan’, tetapi sekarang konsep itu tidak bertepatan dengan apa yang dikatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian sebagai pemidato pada Kongres Rakyat Peringkat Negeri Kedah di Maahad Darul Hadis Tok Keling, Alor Mengkudu, di sini, semalam.

Menurutnya, wakil rakyat parti pemerintah sepatutnya bersama dan merasai bebanan yang dihadapi rakyat ekoran pelaksanaan GST itu.

“Tetapi apa yang berlaku ialah gaji dan elaun wakil rakyat dinaikkan sehingga lebih 40 peratus, sedangkan rakyat dibebani dengan GST sebanyak enam peratus dan kenaikan kos sara hidup.

“Saya harap usul ini mendapat perhatian sewajarnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan GST itu secara tidak langsung turut membebankan perbelanjaan harian keluarga terutama dalam soal penjagaan anak-anak.

“Dulu kita tiada masalah untuk membesarkan anak-anak dengan perbelanjaan yang sederhana, tetapi sekarang perbelanjaan itu menjadi bebanan sebab kenaikan harga barang ekoran GST,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");