Berita Hari Ini

Pemuda minta kerajaan siasat G25

KUALA TERENGGANU – Pemuda Umno Terengganu mengecam tindakan kumpulan bekas penjawat awam, G25 yang mahu penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar mempersoalkan tindakan kumpulan terbabit, dan menyifatkan cadangan mereka untuk dimansuhkan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Persoalannya, kenapa sekarang ditimbulkan isu ini. Ini menunjukkan kumpulan terbabit mempunyai agenda yang tersirat secara halus oleh pro liberal yang secara terang cuba mengganggu keharmonian negara, terutamanya orang Melayu dan yang beragama Islam.

“Saya mohon kerajaan membuat siasatan dan mengambil tindakan kepada G25 ini kerana ia berbau hasutan yang cuba menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Tindakan mereka ini juga seolah-olah cuba mencabar kedaulatan sultan yang merupakan ketua agama negeri, yang mempunyai kuasa ke atas perkara berkaitan hal ehwal agama Islam. Jika dibiarkan, kita bimbang mereka akan melampaui batasan,” katanya.

Jelas beliau, ini bukan caranya jika kumpulan terbabit mencari dan memperjuangkan hak kebebasan, sedangkan banyak lagi yang boleh diperjuangkan.

Malah katanya, kecenderungan kumpulan G25 ini sangat bahaya terutamanya melibatkan hal ehwal Islam.

“Sebelum ini mereka mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Kita bimbang mereka mempunyai agenda tertentu yang cuba untuk mencabar kewibawaan institusi Islam di negara ini.

“Pihak berkuasa perlu menyiasat kumpulan ini, apakah mereka didalangi pihak-pihak tertentu dan apa motif sebenar mereka. Sebolehnya, haramkan mereka terus daripada aktif bergerak dan daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan bahaya sebegini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");