Berita Hari Ini

Peranan Malaysia dalam Majlis Keselamatan PBB

NEW YORK – Tahun 2015 merupakan tahun penuh peristiwa bagi Malaysia yang mula menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC).

“Terdapat banyak krisis di dunia yang terpaksa ditangani dari Afrika hingga Timur Tengah dan Asia dengan melibatkan pelbagai konflik termasuk masalah jutaan orang hilang tempat tinggal akibat peperangan,” kata Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Ramlan Ibrahim.

Namun beliau menyifatkan peranan Malaysia sepanjang tahun pertama dalam UNSC sebagai konstruktif, positif dan berjaya berdasarkan beberapa konsensus menyelesaian yang diluluksan badan tersebut berkaitan negara yang dilanda krisis seperti Syria dan Libya.

Malaysia sentiasa menyuarakan pandangan munasabah, menyeru kepada dialog lebih menyeluruh dan inklusif, katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga sedang berusaha untuk memulihkan Perhimpunan Agung yang sering terlibat dalam proses yang tidak produktif dan tidak mendatangkan hasil.

“Pemilihan bagi Setiausaha Agung seterusnya, sebagai contoh, dibincangkan di bawah resolusi pemulihan Perhimpunan Agung pada 11 September lalu dengan mengambil kira keprihatinan dan kedudukan Malaysia,” ujar Ramlan.

Ban Ki-moon akan bersara daripada jawatan Setiausaha Agung PBB dalam tempoh setahun lagi dengan usaha mencari calon penggantinya sedang giat dilakukan.

Kali ini giliran Eropah Timur pula untuk mengemukakan calon mereka.

Bagi memperoleh keputusan yang lebih cepat dan bermakna, Malaysia mencadangkan diadakan mesyuarat ‘Arria-formula’ yang dinamakan sempena bekas duta Venezuela, Diego Arria yang memperkenalkan mesyuarat tidak formal, penuh kerahsiaan untuk perbincangan secara jujur dan persendirian dalam kalangan negara anggota UNSC.

Beliau menegaskan pendirian Malaysia bahawa calon Setiausaha Agung perlu dibuat berdasarkan meritokrasi dengan proses pemilihan perlu adil dan telus dengan mempertimbangkan soal wilayah dan gender.

“Malaysia akan terus mencadang kepada Majlis Keselamatan untuk mengemukakan lebih daripada seorang calon kepada Perhimpunan Agung kerana Setiausaha Agung mewakili kesemua anggota PBB dan bukan hanya Majlis Keselamatan,” kata Ramlan.

Malaysia juga memainkan peranan penting dalam menggesa tanggungjawab untuk melindungi nyawa manusia merupakan tanggungjawab paling penting bagi kesemua negara anggota berhubung kes jenayah peperangan, pembersihan etnik dan peperangan menentang kemanusiaan.

Malaysia turut menjadi pengerusi bersama dengan Sepanyol Mesyuarat Formula Arria mengenai peranan perubahan iklim sebagai ancaman kepada keselamatan global pada 30 Jun 2015, yang membolehkan negara anggota membincang dan lebih mengenal pasti ancaman berkaitan kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa berhubung perubahan iklim.

Ramlan berkata inisiatif tersebut menyediakan momentum politik kepada perjanjian perubahan iklim dan menjadi fokus kepada implikasi keselamatan berkaitan perubahan iklim pada sidang kemuncak perubahan iklim di Paris pada Disember 2015.

Beliau menyebut mengenai resolusi sangat penting mengenai penculikan kanak-kanak adalah hasil inisiatif Malaysia dalam UNSC yang sebuat suara diterima pakai pada 18 Jun 2015 dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mempengerusikan perbahasan terbuka mengenainya.

“Resolusi 2225 berhubung perkara itu adalah sangat penting bagi Malaysia yang memperlihat pendirian tidak berbelah bahagi dalam menolak kes penculikan kanak-kanak,” katanya.

Malaysia turut memainkan peranan penting berhubung isu pelarian dengan bakal mempengerusikan mengenai isunya di Majlis Keselamatan pada Ogos 2016 sebelum berlangsung konvensyen mengenai pelarian anjuran Amerika Syarikat pada September 2016.

Malaysia menempatkan kira-kira 100,000 pelarian Rohingya daripada Myanmar dan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan turut menerima 3,000 pelarian Syria. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");