Sukan Hari Ini

Zulfahmi sah beraksi WSBK

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali mengesahkan Zulfahmi Khairuddin (gambar) akan beraksi pada saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) menerusi kategori Supersport musim depan.

Jelas Razlan, perbincangan bersama sebuah pasukan yang sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam kategori itu kini mencapai peringkat akhir.

“Saya boleh katakan kedudukan Zulfahmi hampir pasti. Cuma ada sedikit lagi perbincangan membabitkan beberapa perkara dengan pasukan yang belum dibincangkan seperti isu logistik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Razlan berkata, SIC sekali lagi akan membantu menaja Zulfahmi yang mempunyai pengalaman luas beraksi selama enam musim dalam Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

“Kontrak Zulfahmi adalah berdasarkan pencapaiannya pada setiap tahun. Sama seperti yang kami lakukan ketika dia beraksi Moto3.

“Berikutan perkembangan terbaru ini, saya harap dia dapat membina kariernya semula. Bagi pihak SIC, kami memberikan platform terbaik untuknya beraksi, selebihnya terpulang kepada dirinya sendiri.

“Sekiranya mampu menghasilkan keputusan bagus, Zulfahmi berpeluang beraksi dalam saingan lebih besar, SBK atau Moto2 dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.

“Apapun, segala-galanya akan diumumkan secara rasmi pada 12 Januari nanti,” katanya.

Zulfahmi menerusi laporan Arena Metro baru-baru ini memberi bayangan hala tuju kariernya selepas ini mungkin menghala kepada WSBK.

Namun, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan kerana segala-galanya masih belum jelas.

Selama enam musim dalam MotoGP, Zulfahmi melalui pelbagai detik pahit dan manis dan antara paling diingati pencapaiannya menyambar petak pertama pusingan kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia 2012 sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kedua sekali gus menjadikannya pencapaian peribadi terbaik.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");