Berita Hari Ini

Persempadanan semula satu kejayaan buat SPR

KUCHING – Kemenangan akhirnya berpihak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas Dewan Rakyat meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak semalam, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata SPR menghadapi bermacam-macam gangguan dan bantahan dalam melaksanakan kerja-kerja persempadanan semula itu, khasnya daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (BGO) dan parti-parti politik yang mempunyai agenda mereka sendiri.

Katanya SPR diseret sehingga ke Mahkamah Persekutuan, namun akhirnya ia mencapai kemenangan kerana semua tindakan-tindakan yang dilakukan oleh SPR adalah mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

“Kumpulan ini mencuba sedaya upaya untuk menggagalkan tugas SPR ini, tetapi akhirnya mereka gagal dan kecewa,” katanya dalam satu pesanan ringkas melalui WhatsApp kepada Bernama di sini hari ini.

“Sebagai Pengerusi SPR saya mengucapkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah yang sentiasa memberi taufik hidayah, kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada kami,” katanya.

“Jutaan terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu SPR di peringkat Persekutuan mahupun Negeri Serawak, (kerana) tanpa kerjasama mereka, usaha ini tidak akan berjaya,” tambahnya.

Abdul Aziz berkata selepas ini SPR akan mendapatkan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, dan selepas itu diwartakan semua bahagian-bahagian baru berkenaan.

“SPR yakin 82 kerusi Dun akan digunakan (dipertandingkan) dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang,” katanya.

Semalam, usul persempadanan semula itu diluluskan melalui undi belah bahagian dengan 130 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 72 lagi menolak.

Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan Dun berbanding 71 pada masa kini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");