Berita Hari Ini

Tambang mahal: Pengguna pilih naik teksi bermeter

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan teksi bermeter dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan sebaliknya dijangka menjadi pilihan orang ramai berikutan kenaikan tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) berkuat kuasa 1 Januari depan.

Penasihat syarikat Teksi Premium Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, ini kerana pengguna yang datang secara berkumpulan akan menikmati tambang lebih berpatutan berbanding tambang baharu ERL.

“Sekiranya empat orang pengguna mereka hanya perlu membayar tambang purata RM130 untuk teksi biru dan RM60 untuk teksi merah bagi perjalanan sehala berbanding menaiki ERL dengan kadar yang lebih mahal iaitu RM220.

“Pada masa sama ia juga dijangka dapat meningkatkan jumlah pendapatan pemandu teksi terutamanya di sekitar Kuala Lumpur dengan pertambahan jumlah trip perkhidmatan itu kelak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 1 Disember lalu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor mengumumkan kadar tambang baharu ERL bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke KLIA dan klia2 dariPADA RM35 kepada RM55 mulai 1 Jan 2016.

Penstrukturan tambang baharu itu adalah kali pertama sejak ERL beroperasi pada 2002.

Shamsubahrin berkata, ketika ini jumlah perjalanan atau trip teksi bermeter dari Kuala Lumpur ke KLIA atau klia2 kira-kira 40 sehari dan jumlah itu dijangka meningkat sekali ganda pada tahun depan.

“Dulu, kadar tambang ERL RM35 menjadi saingan kepada industri perkhidmatan teksi namun kini(pada tahun depan) pemandu teksi perlu menganggap saingan itu telah tidak ada.

“Orang ramai termasuk pelancong pula tidak perlu merungut kata mahal … sebenarnya ada alternatif lain iaitu menggunakan perkhidmatan teksi … kami akan adakan promosi secara besar-besaran pada awal tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsubahrin berkata, pihaknya bercadang mengemukakan saman sebelum akhir tahun ini ke atas perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar yang dikatakan memasuki kawasan larangan operasi dan didakwa menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan di kawasan syarikat itu.

“Misalnya di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), hanya teksi yang berdaftar dibenarkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang tetapi Uber dan GrabCar bertindak sebaliknya.

“Ini bercanggah dengan perjanjian antara syarikat kami dengan pengurusan KLCC … mereka (Uber dan GrabCar) tidak mempunyai permit untuk berbuat demikian,” katanya.

Terdapat lebih 800 pemandu teksi berdaftar di bawah syarikat Teksi Premium Big Blue.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");