Jenayah

Wanita hamil curi rak baju bayi

AYER KEROH: Padah mencuri sebuah rak baju bayi di sebuah pasar raya, seorang wanita yang sarat mengandung dihukum penjara sehari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap Khew Poh Kim, 20, dari Krubong selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati mencuri sebuah rak baju bayi berharga RM129 di Pasaraya AEON Jusco Ayer Keroh, Jalan Lebuh Ayer Keroh, kira-kira jam 9 malam pada 13 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan meminta hukuman terhadapnya diringankan kerana suaminya berpendapatan rendah, selain dirinya sedang sarat mengandung dan dijangka bersalin seminggu lagi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid ketika mengendalikan kes meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat.

Mohd Firdaus kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari dan denda RM500 atau dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");