Panasnya Hari Ini

Amanah Persoal Tindakan Tabung Haji Jual Aset di London

KUALA LUMPUR: AMANAH tampil membidas tindakan yang diambil Lembaga Tabung Haji (TH) menjual aset-aset berpendapatan lumayan di London sekadar untuk mengambarkan perniagaan lembaga itu masih kukuh.

Memetik sumber Freemalaysiatoday, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata tindakan itu mencerminkan amalan yang tidak berhemah dan tidak mampan.

Tambahnya, TH perlu mematuhi teguran Bank Negara Malaysia (BNM) tentang dasar rizab dan bukannya mengambil sikap tidak bertanggungjawab menepis teguran dengan berbagai alasan.

“AMANAH melihat TH bakal dilanda krisis keyakinan penyimpan dan pelabur yang akan menjejaskan kewujudannya kecuali tindakan segera diambil untuk memulihkan keyakinan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, TH dilaporkan telah menjual sebuah bangunan pejabat di 151, Buckingham Palace Road pada harga £250 million – 22 peratus lebih tinggi daripada nilai pembelian hartanah itu pada Oktober 2014.

Turut difahamkan pada bulan lalu, takat rizab TH mencecah paras negatif  sehingga lembaga itu dikatakan tidak mampu membayar pencarum kecuali ia mencairkan aset-asetnya.

Dakwaan itu tersebar meluas berdasarkan juga surat yang diutus Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz kepada Pengerusi TH, Datuk Sri Abdul Azeez Rahim Disember lalu, namun sehingga kini surat itu tidak dapat disahkan kebenarannya.

Salahuddin turut menggesa TH supaya berterus-terang berhubung soal penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) juga.

Pada Mei 2015, Abdul Azeez mengumumkan pihaknya atas nasihat Perdana Menteri mahu menjual tanah itu sebagai menghormati sensitiviti pencarum manakala kelmarin, Azeez tampil mengumumkan bahawa TH memutuskan untuk membangunkan tanah itu pula.

“Amat malang sekiranya keputusan pembelian sepenting ini berlaku tanpa adanya kajian dan perancangan khusus, selain untuk memenuhi kehendak pemimpin politik negara.

“Dasar sebegini mesti dihentikan jika ada, supaya TH dapat diselamatkan,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");