Jenayah

Dicekup leka main judi belangkas

ALOR GAJAH: Keseronokan 12 individu termasuk enam warga emas bermain judi belangkas terbantut apabila polis menyerbu tempat perjudian mereka dalam Ops Limau, petang kelmarin.

Kesemua sembilan lelaki dan tiga perempuan berusia 20-an hingga 70-an itu ditahan ketika leka bermain judi di bawah khemah di hadapan sebuah kedai kopi di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, dalam serbuan kira- kira jam 5 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, serbuan dilakukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Ketika serbuan kesemua mereka sedang asyik berjudi di bawah khemah yang dipercayai didirikan mereka untuk bermain judi jenis belangkas.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita merampas wang tunai berjumlah RM2,159, 14 helai kertas alas meja, dua biji piring kecil, sebiji mangkuk kecil dan 15 buah dadu belangkas,” katanya.

Menurutnya, kesemua kaki judi itu di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sebelum tindakan mahkamah diambil.

Dalam perkembangan lain, Kamaluddin berkata, seorang lelaki dan perempuan turut ditahan dalam tangkapan berasingan di Melaka Sentral dan Batu Berendam kerana menjual nombor loteri awam tidak berlesen dan menulis nombor ekor awam secara haram.

“Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika menulis loteri awam haram di kawasan Taman Melaka Baru, Baru Berendam kira-kira jam 4.30 petang dan setengah jam kemudian seorang wanita berusia 43 tahun pula ditahan di Melaka Sentral.

“Lelaki itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 9(1) sementara perempuan tersebut Seksyen 4A(a) akta sama.

“Kita turut merampas beberapa kertas catatan nombor loteri haram yang dijumpai bersama mereka ketika tangkapan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");