Jenayah

Enam beranak nyaris maut

TEMPOYANG – Enam sekeluarga nyaris maut apabila kereta dinaiki dihempap kayu yang terjatuh dari sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Tempoyang, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11 malam itu, tali yang mengikat kayu dalam sebuah lori terputus dan muatan itu jatuh ke atas jalan raya.

“Muatan kayu turut jatuh atas sebuah Kereta Waja dinaiki enam sekeluarga yang datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu kereta, Mohd Fadzli Md Yasof, 27, dan lima penumpang, Nursuhaili Yazid, 28; Nur Faqihah Syakira Mohmad Fadzli, 10 bulan; Muhammad Abdul Aziz Che Mat Yasof; Mohd Zubaidi Che Mat Yasof, 24 dan Eshah Jusuh, 68, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, insiden itu menyebabkan jalan berdebu dan kayu berselerakan.

Menurutnya, persekitaran berdebu dan penglihatan terhad menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dinaiki empat sahabat dari arah Kuala Lipis menghala ke Merapoh melanggar kayu berkenaan.

Beliau berkata, sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Merapoh menuju ke Lipis juga tidak dapat mengelak sebelum terbabas dan melanggar Toyota Wish terbabit.

“Semua pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan serta pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 .

Abdul Razak berkata, saksi kejadian berkenaan diminta tampil ke bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 11.01 malam.

“Ketika sampai di tempat kejadian, seorang mangsa dalam sebuah kereta Waja didapati tersepit dan kita mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkannya.

“Lima lagi mangsa dikeluarkan orang awam. Semua mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");