Sukan Hari Ini

Kalah kita bermaruah

KEGAGALAN skuad badminton negara menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Hyderabad, India nampaknya membuktikan tanggapan semua pihak mengenai barisan pelapis betul.

Walaupun dilihat seperti perlekeh kemampuan pemain muda, namun jika dinilai keputusan yang diraih, ia jelas menggambarkan yang kudrat mereka belum boleh diharapkan.

Mungkin ada benarnya pandangan bekas pemain sebelum ini yang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membariskan skuad campuran bagi menghadapi kempen kelayakan tersebut memandangkan pemain-pemain senior mampu memberi suntikan semangat kepada pemain muda.

Walaupun niat badan induk itu baik untuk memberi pendedahan kepada barisan pelapis, namun perlu diingat Piala Thomas adalah kejohanan penting dan mereka seharusnya memikirkan nama negara agar tidak dimalukan.

Apa pun, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Tiada guna untuk menuding jari sebaliknya BAM perlu mencari formula lain dalam memastikan skuad pelapis sudah betul-betul bersedia untuk menggalas tugas negara pada kejohanan yang penting akan datang.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengetepikan pemain-pemain utama dan berpengalaman seperti Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dengan menyenaraikan pemain-pemain muda.

Pemain-pemain yang disenaraikan untuk menghadapi aksi kelayakan Piala Thomas itu ialah Zulfadli Zulkiffli, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven termasuk tiga beregu, Tan Kian Meng-Low Juan Shen, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen.

Faktor nasib

Seperti skuad badminton wanita, skrip sama turut menyelubungi barisan pemain lelaki apabila tersingkir di suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia.

Malaysia tewas kepada tuan rumah, India 2-3 dalam aksi yang penuh dramatik di Stadium Tertutup GMC Balayogi, Hyderabad sekali gus gagal layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Kunshan, China, Mei depan.

Bagaimanapun, Malaysia bernasib baik apabila mampu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas berdasarkan kedudukan ranking dunia, jika tidak Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2016 itu pastinya malapetaka kepada skuad kebangsaan.

Berikutan format yang diguna pakai meletakkan enam pasukan terbaik dunia layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas, membolehkan Malaysia yang menghuni ranking nombor enam dunia menempah slot lebih awal ke Kunshan, China pada Mei ini.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas pada kempen 1992 di Kuala Lumpur dan pencapaian terbaik sejak kejayaan itu ketika meraih tempat kedua selepas tewas kepada Jepun pada aksi final di New Delhi, India dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen tetap melahirkan rasa bangga menyaksikan barisan mudanya mampu menggalas tanggungjawab mereka dengan baik.

Katanya, walaupun kalah, namun saingan sengit yang ditonjolkan barisan pemain perlu dipuji.

“Kita memegang status selaku pasukan underdog, tadi kita hampir menang ke atas lawan. Saya berbangga dengan pemain-pemain muda ini, mereka berjaya mempamerkan semangat juang tinggi.

“Pemain mengambil setiap peluang yang ada, mereka beraksi dengan penuh keyakinan. Mereka menikmati perlawanan dengan pemain terbaik di dunia.

“Menentang pasukan kuat bukanlah tugas mudah. Memang kita kalah, tetapi sekurang-kurangnya pemain muda didedahkan dan ini pengalaman berguna buat mereka,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");