Berita Hari Ini

KPDNKK masih tunggu timbalan menteri baharu

SEPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih menunggu pengisian jawatan Timbalan Menteri selepas penyandangnya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan itu.

“InsyaALLAH, adalah itu…saya pun tidak tahu siapa (penggantinya),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Fasa 2 Pusat Pengagihan milik GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd di sini hari ini.

Ahmad Bashah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meletakkan jawatan itu pada 3 Feb lepas, setelah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Mengenai GCH, Hamzah berkata syarikat itu bersetuju meningkatkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan daripada 15 peratus dalam rangkaian pengedarannya ketika ini kepada 20 peratus pada akhir tahun ini dan 30 peratus menjelang 2020.

“Dengan usaha perkembangan IKS untuk menembusi pasaran antarabangsa, sokongan daripada syarikat seperti ini amat diperlukan,” katanya.

GCH adalah anak syarikat Dairy Farm International dan merupakan peneraju pasaran dalam industri runcit yang mengendalikan Giant, Mercato, Cold Storage dan Jason Food Hall.

Pusat Pengagihan yang baru dirasmikan itu dijangka mampu mengendalikan kapasiti penuh dua juta kontena seminggu menjelang 2018 berbanding 600,000 unit pada masa ini.

Pusat itu turut menempatkan barangan tempatan untuk edaran rangkaian pasar raya GCH di Singapura dan Kemboja.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");