Perak Hari Ini

Lemas Dalam Parit Depan Rumah

PARIT BUNTAR: Mayat seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditemui di dalam parit berhadapan dengan rumahnya di Kampung Kedah, di sini pagi semalam merungkai persoalan berhubung kehilangan kanak-kanak tersebut.

Ibu saudara mangsa, Marifah Tahir 30 berkata, dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, mangsa, Shahrul Akhbar Ismail 2, sedang bermain di hadapan rumah sambil diperhatikan ibunya, Khadijah Tahir 25, yang sedang membersihkan kawasan sekitar rumah.

Ceritanya lagi, mangsa yang berketurunan Kemboja kemudiannya merengek kelaparan kepada ibunya akibat letih bermain.

Selepas terdengar rengekan anaknya, Khadijah kemudian segera masuk ke dalam rumah untuk menyediakan susu.

“Sebaik keluar dari rumah selepas menyediakan susu, ibu mangsa terkejut melihat anaknya sudah hilang.

“Takut anaknya hilang akibat dilarikan orang, ibu mangsa kemudiannya meminta bantuan orang kampung untuk mencari mangsa di serata kampung, namun masih gagal ditemui,”ceritanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar, semalam.

Cerita Marifah lagi, pada jam kira-kira pukul 10 pagi, seorang penduduk kampung yang turut menyertai mencari telah menemui tubuh mangsa yang terdampar di dalam parit di hadapan rumah.

Jelasnya, penemuan jasad mangsa sangat mengejutkan adiknya berikutan beliau tidak menyangka sama sekali mangsa boleh terjatuh ke dalam parit yang kecil itu.

“Ketika ditemui, arwah Shahrul didapati sudah tidak bernafas di dalam parit itu.
“Kehilangan arwah amat menyedihkan ibunya, lebih-lebih lagi bapa arwah kini sedang berada di Kemboja atas urusan keluarga,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut Omar Bakhtiar, hasil daripada laporan forensic mengesahkan mangsa maut akibat lemas dalam anggaran masa 9.50 pagi.

“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarga dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");