Panasnya Hari Ini

Menantu Najib Nafi Terima 16 Tong Hadiah

KUALA LUMPUR: Dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghadiahkan kepada bakal menantunya, sebanyak 16 tong hadiah semasa majlis pertunangan dengan Nooryana Najwa Daniyar Kessikbayev telah dinafikan.

Daniyar ketika dihubungi oleh portal berita, Free Malaysia Today telah menafikan dakwaan tersebut.

Jelas Daniyar, hadiah itu sebaliknya adalah pemberian daripada pihaknya kepada pihak perempuan pada majlis pertunangan, 17 Jun 2011.

Tambahnya lagi, tidak pernah wujud 16 tong hadiah seperti yang didakwa, sebaliknya hanya 16 kotak hadiah yang merupakan sebahagian daripada tradisi masyarakat Kazakhstan.

“Saya ingin jelaskan bahawa hadiah berkenaan adalah daripada saya sebagai mahar kepada Nooryana yang diberikan dalam 16 kotak, bukannya 16 tong.

“Sebagai bakal suami pada masa itu, pemberian tersebut merupakan sebahagian daripada tradisi masyarakat Kazakhtan untuk bakal isteri pada masa akan datang termasuk barang kemas, minyak wangi dan sutera,”ujarnya.

Tambah Daniyar lagi, beliau sekeluarga berasa bangga untuk berkongsi warisan Kazakhstan bersama keluarga baharunya di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau menggunakan wang hasil dari titik peluhnya untuk membeli hadiah-hadiah tersebut dan tidak menggunakan wang keluarga mahupun wang kerajaan.

“Saya tidak mempunyai apa-apa urusan atau sebarang bentuk perniagaan dengan kerajaan Malaysia. Saya juga tidak mengambil wang daripada rakyat Malaysia yang tercinta,”tegas Daniyar.

Berikutan itu, Daniyal turut menggesa agar Tun Mahathir tidak menggunakan perkahwinannya dengan anak Perdana Menteri itu sebagai subjek politik.

“Saya dengan rasa hormat meminta Dr Mahathir berhenti menggunakan perkahwinan saya, isteri saya dan saya sendiri untuk kepentingan politik.

“Saya percaya Dr Mahathir sebagai seorang ahli politik yang bijak, seorang bapa dan suami pandai menilai apa yang salah dan apa yang betul untuk bercakap,”katanya.

Terdahulu, Tun Mahathir mendakwa bahawa beliau menyaksikan sendiri 16 tong hadiah disediakan oleh Najib untuk diberikan kepada bakal menantunya.

Daniyar dan Nooryana Najwa melangsungkan perkahwinan pada Mac 2015.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");