Jenayah

Renung muka ibu sebelum ‘pergi’

KUALA TERENGGANU – “Saya sempat bagi dia minum susu setengah jam sebelum dia tak ada (meninggal dunia),” luah ibu kepada Nur Kamisha Rahima Abdullah, bayi berusia tujuh bulan yang mengidap lebihan cecair di dalam kepala atau dikenali sebagai hidrosefalus.

Menurut Norizan Che Mustafa, 31, dia memberi bayinya itu minum susu sekitar jam 7.30 pagi semalam, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi di rumahnya di Kampung Ladang Hospital, di sini.

Jelas Norizan, bayinya yang dipanggil Misha itu sudah dua hari kurang sihat dan hanya minum susu dalam kuantiti yang sedikit, selain mengalami batuk ringan tetapi masih aktif macam biasa.

“Saya tak sangka pula pagi tadi (semalam) selepas selesai bagi dia minum susu, tiba-tiba dia ‘pergi’ macam tu sahaja sedangkan semasa menyusu, dia renung muka saya malah saya sempat membelai tangannya.

“Selesai memberi dia minum susu, saya meninggalkannya seketika dan kembali semula lebih kurang setengah jam selepas itu dan melihat keadaannya yang tidak sedarkan diri.

“Saya terus menelefon abah, minta tolong hantarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) namun apabila pemeriksaan dilakukan, arwah disahkan sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital,” katanya kepada Sinar Harian, ketika menziarahi keluarga arwah yang tinggal di rumah neneknya, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Norizan atau Nor reda dengan pemergian anaknya dan berkata, dia dan keluarganya tidak akan lupakan semua kenangan sepanjang membesarkan anak bongsunya itu.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Tok Pelam, di sini, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan kisah Misha yang menderita sakit hidrosefalus yang menyebabkannya sentiasa menangis kerana menahan kesakitan di kepala.

Bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan normal tetapi ketika berusia tiga bulan, saiz kepalanya semakin membesar dan kemudiannya disahkan mengidap hidrosefalus.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");