Membawang Hari Ini

Aizdean harum di Jepun

Pada 2002, anak muda dari Selangor ini melanjutkan pengajian ijazah sarjana dalam kejuruteraan elektronik di sebuah universiti di Tokyo, Jepun.

Aktif menyertai nasyid di sekolah, Aizdean atau nama sebenarnya Muhammad Aizuddin Anwar, 33, mencuba nasib sebagai penyanyi di Jepun.

Ternyata usahanya membuahkan hasil apabila menjadi rakyat Malaysia pertama mencipta nama dalam industri J-Pop di negara matahari terbit itu pada 2009.

Pernah memenangi anugerah Artis Baru Terbaik Nippon Broadcasting System enam tahun lalu, penyanyi fasih berbahasa Jepun ini berkata kembara seninya bermula ketika menuntut di universiti.

“Sewaktu di sekolah, saya aktif dengan nasyid tetapi aktiviti sedemikian tiada di Jepun, Jadi saya memilih untuk terbabit dalam aktiviti nyanyian di universiti.

“Tidak lama kemudian saya diperkenalkan kepada seorang produser dan bermulalah karier nyanyian saya secara serius,” katanya ketika ditemui di sidang media program Muzik Hati Jepun baru-baru ini.

Dalam program lapan episod itu, Aizdean menggalas tugas sebagai pengacara dan memperkenalkan muzik popular di Jepun kepada penonton sambil memaparkan keindahan panorama serta budaya hidup penduduk negara berkenaan.

Turut hadir pada sidang media itu, penyanyi soprano Tomotaka Okamoto dan penyanyi klasik pop Daisuke Kawakami.

Bercerita lanjut mengenai perjalan karier seninya, Aizdean bersyukur kehadirannya dalam industri muzik Jepun disambut baik rakyat negara itu.

“Memang ada segelintir berasa pelik melihat saya. Namun ramai mengalu-alukan kehadiran saya kerana kagum dengan semangat orang luar yang sanggup yang sanggup belajar bahasa dan budaya mereka,” katanya.

Bekerja sebagai jurutera instrumentasi di sebuah syarikat di Tokyo, Aizdean mendedahkan mengambil masa selama tiga tahun untuk menguasai bahasa dan menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat Jepun.

“Tiga bulan pertama di negara itu memang sukar kerana tidak memahami bahasa tempatan. Mujur ada keluarga angkat di sana banyak membantu saya,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seninya, penyanyi yang popular menerusi single I Need You Baby itu belum merancang mengeluarkan album kedua.

“Album pertama berjudul Hadiah diterbitkan pada 2011 dan mempunyai beberapa single. Kalau ada rezeki, saya akan tampil dengan album kedua tetapi bukan dalam masa terdekat,” katanya.

Ujar Aizdean, istimewanya single Khayalan yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu terpilih menjadi lagu tema drama Sarutobi Sansei.

“Saya dimaklumkan produksi mahu menggunakan lagu bahasa asing yang tidak dikenali rakyat Jepun untuk drama itu,” katanya.

Perkenal lagu Jepun

Berkongsi pengalaman mengendalikan program Muzik Hati Jepun, Aizdean berkata peluang itu membolehkannya memperkenalkan kepada penonton Malaysia lagu popular masyarakat setiap daerah di Jepun.

“Program ini turut memaparkan keindahan persekitaran, budaya dan kehidupan masyarakat di daerah yang jarang dipaparkan di televisyen,” katanya.

Lebih istimewa, Aizdean berpeluang bertemu dengan penyanyi idolanya, kumpulan Kiroro yang muncul dalam episod pertama program itu.

“Sewaktu di universiti, lagu Jepun pertama yang diperkenalkan kepada saya adalah nyanyian kumpulan duo Kiroro. Sejak itu, saya teringin bertemu mereka dan dapat direalisasikan menerusi program ini,” katanya.

Sementara itu, Daisuke Kawakami dan Tomotaka Okamoto yang muncul dalam episod kedua membawa penonton meneroka daerah Nagano.

Dalam episod itu juga, kedua-dua penyanyi itu turut memperkenalkan lagu Chikumagawa kepada penonton.

Daisuke berkata, komuniti di Nagano masih menitikberatkan semangat kejiranan, berbeza dengan penduduk di bandar raya besar.

“Di bandar, penduduk tidak berkumpul melakukan gotong-royong dan jarang berkomuniksi dengan jiran. Suasana di Nagano sangat tenang dan penduduknya sangat peramah,” katanya.

Tomotaka yang berasal dari Shikoku, Osaka berkata lagu Chikumagawa membuatkan dia mengimbau kembali zaman kanak-kanak.

“Saya berharap penonton dapat menghayati lagu ini dan pada masa sama mempelajari budaya kehidupan masyarakat Jepun,” katanya.

Selebriti lain yang turut tampil dalam Muzik Hati Jepun adalah Kaori Mizumori, Yukino Kamaki dan Diamond Yukai.

Setiap episod turut membawa penonton ke lokasi berlainan iaitu Okinawa, Nagano, Kanazawa, Tottori, Yokosuka, Yokohama, Aomori dan Kobe.

Episod ketujuh Muzik Hati Jepun di saluran TV3, jam 6 petang Sabtu ini akan memfokuskan daerah Yokohama bersama artis Jero.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");