Perak Hari Ini

Daerah Kerian Ulangi Pencapaian SPM Terbaik Buat Kali Kedua

PARIT BUNTAR: Daerah Kerian ternyata sekali lagi berjaya mengulangi pencapaian dan mengungguli keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik di negeri ini pada tahun 2015 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 4.92, sekaligus berjaya mengatasi GPS Negeri Perak (5.22) dan GPS Kebangsaan (5.19).

Apa yang lebih membanggakan, keputusan tersebut dicapai dalam tempoh tiga tahun.

Timbalan Pegawai Pendidikan Kerian, Mazalani Abdul Muhaini ketika ditemui pagi tadi berkata, Kerian turut mencatatkan peningkatan jumlah calon yang memperoleh gred A dalam kesemua subjek kepada 50 calon.

Seramai 2,789 calon menduduki peperiksaan tersebut di 22 buah sekolah menengah.

Tambah Mazalani lagi, daripada jumlah tersebut, seorang pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang apabila mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.

“Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kerian, Ho Zhe Xuan, 18, terpilih sebagai calon SPM yang paling cemerlang di daerah ini apabila memperolehi keputusan 11A+.

“Kejayaan yang dicapai beliau amat membanggakan dan seterusnya membuktikan bahawa, walaupun tiada sekolah berprestasi tinggi di kawasan luar bandar seperti Kerian, ianya bukan kayu ukur untuk kejayaan pelajar di dalam peperiksaan utama,”katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan penilaian kualiti keseluruhan A pula, SMJK Kerian menduduki tempat teratas apabila 28 calon daripada sekolah tersebut mendapat keseluruhan A, diikuti SMKA kerian (8 pelajar) dan SMK Seri Kerian (6 pelajar).

“Dari segi pencapaian calon menguasai tahap minimum dalam semua kertas peperiksaan, daerah Kerian mencatatkan 57.09 peratus lulus bagi semua mata pelajaran,”ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahaht berkata, dengan pencapaian akademik yang dicapai oleh daerah Kerian, ianya merupakan satu isyarat jelas bahawa daerah itu memerlukan sebuah sekolah berasrama penuh.

Katanya lagi, ianya adalah bagi memastikan kecemerlangan pelajar di daerah ini dapat diteruskan.

“Sudah tiba masanya untuk Kerian menerima sebuah sekolah SBP bagi memastikan pelajar berbakat dihasilkan daerah ini akan terus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan daerah Kerian sehingga ke menara gading.

“Perkara ini sering saya tekankan dalam setiap sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan saya berharap perkara ini akan dapat direalisasikan kelak,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");