Sukan Hari Ini

Devan tuntut pemain bangkit

SELEPAS kehilangan dua mata ketika terikat seri dengan Sarawak, K Devan menuntut skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors bangkit menampilkan aksi terbaik apabila bertemu Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan itu berkata, barisan pemainnya perlu menjadikan pertemuan menentang skuad Lang Merah itu titik tolak kebangkitan pasukannya setelah dikecam hebat berikutan persembahan hambar dua perlawanan sebelum ini.

“Saya sedar ramai yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan kemampuan Kelantan ketika ini. Ia (kritikan) sesuatu yang lumrah dalam bola sepak tetapi saya sentiasa memandang ke hadapan dan berfikiran positif.

“Pertemuan menentang Kedah memang dijangka sengit tetapi kami mahu menjadikannya satu perlawanan yang boleh memulihkan imej pasukan ini. Ia (keputusan) akan mengukur kemampuan sebenar Kelantan pada musim ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Devan turut menaruh keyakinan pasukannya akan kembali beraksi pada tahap keupayaan sebenar dan mengutip mata penuh sekiranya anak didiknya tidak melakukan kesilapan apabila berdepan skuad Tan Cheng Hoe itu.

“Saya ingatkan semua pemain, mereka kena bekerja keras sepanjang 90 minit itu. Sekiranya mereka dapat melaksanakan strategi yang telah ditentukan, saya percaya kami boleh meraih keputusan positif, malam esok (ini),” katanya.

Namun di sebalik keyakinan itu, pengendali berusia 54 tahun itu tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai kekuatan skuad Hijau Kuning yang disifatkannya sebuah pasukan yang cukup sukar ditewaskan lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.

“Kekuatan Kedah terletak di bahagian tengah dan pasukan itu lebih gemar menguasai bola lebih lama. Kita perlu cari jalan untuk menyekat enjin tengah mereka selain beri perhatian kepada Baddrol (Bakhtiar),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Devan berkata, dia belum membuat keputusan sama ada menurunkan penyerang import, Dramane Troare ketika pasukannya turut kehilangan khidmat pertahanan kental, Jonathan Mckain akibat penggantungan satu permainan, pada pertemuan itu.

“Belum lagi (senaraikan Troare), saya akan bincang dengan staf kejurulatihan selepas latihan ringan pagi esok (hari ini). Tempat McKain akan diisi sama ada Mohd Farisham (Ismail) atau Norhafiz Zamani (Misbah) tetapi kami juga lega kerana Mohd Daudsu (Jamaludin) sudah kembali berlatih,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");