Membawang Hari Ini

Hilang seri tanpa Aspalela

Konsert Tribute To Living Legend-Tan Sri SM Salim pada malam ini menjadi lebih dramatik jika penganjur dapat menggandingkan dua beranak, Aspalela Abdullah dan Tan Sri SM Salim. Kombinasi dua penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu asli ini mungkin tidak seklasik seperti Andy Williams dengan anak-anak buahnya dalam The Osmonds Brothers, namun memadai ia menjadi memori indah arena seni tanah air.

Bagi penyanyi Rozita Rohaizad, ketiadaan nama Aspalela Abdullah dalam konsert berkenaan turut mengundang simpatinya. Sebagai pewaris seni anak saudara kepada Biduanita Negara, Puan Sri Saloma, Rozita dapat memahami apa yang dirasai Aspalela untuk menyanyi demi famili.

“Rakan artis sebenarnya tertunggu-tunggu agar dua penyanyi tersohor yang ada pertalian keluarga ini dapat ditemukan melalui satu konsert. Usaha menganjurkan Tribute To Living Legend ini baik, cuma apabila mendapat tahu Aspalela tidak menjayakannya bukan sesuatu yang baik.

“Serba sedikit konsert berkenaan kehilangan seri kerana Aspalela dan SM Salim, dua nama besar di arena seni tanah air,” katanya.

Melalui Harian Metro pada 1 Mac lalu, Aspalela membuat kenyataan penyingkiran namanya pada saat akhir bagaikan satu penghinaan pada dirinya. Bekas juara Bintang Radio (RTM) 1968 berkata, sesudah dihubungi pihak Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) selaku penganjur, dia bagaikan tidak sabar beraksi dalam konsert itu sebagai tanda terima kasih kerana menyifatkan dirinya sebagai anak didik SM Salim.

“Bukan saya tidak puas hati, malah tidak kisah pun tetapi janganlah diperlakukan penyanyi veteran sebegini. Kenapa tidak beritahu awal dan jangan suruh saya bersedia dengan tajuk lagu yang akan dinyanyikan termasuk meminta nombor akaun bank.

“Saya turut menjaga kesihatan diri supaya dapat membuat persembahan terbaik, namun apabila sudah disingkirkan, saya rasa tersinggung. Mereka yang terbabit dalam penganjuran konsert itu langsung tidak menjaga maruah dan menghormati perasaan orang,” katanya.

Melalui komen balas Presiden YA1M, Datuk DJ Dave berkata, tiada unsur pilih kasih dan diskriminasi kerana pemilihan artis dibuat pihak Radio Televi­syen Malaysia (RTM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak YA1M sendiri.

Bagaimanapun, selang sehari kemudian DJ Dave membuat kenyataan keputusan yang memilih artis membuat persembahan sempena Konsert Tribute To Living Legend-Tan Sri SM Salim dibuat SM Salim dan keluarganya. Daripada 30 nama dicadangkan, hanya 18 artis terpilih.

Menurut Rozita, memang tidak sesuai dan tidak profesional sebuah organisasi yang sudah menawarkan kemudian menidakkan.

“Konsert penghargaan buat SM Salim, bermakna bukan sahaja lagunya harus diutamakan, apa saja peninggalan beliau bermaksud apa yang diusaha dan lahirkan antaranya bintang lagu asli yang kebetulan anak saudaranya sendiri, Aspalela Abdullah. Cubalah profesional sikit.

“Mengapa pemilihan awal wakil pihak penganjur menjemput Aspalela, seharusnya berbincang dulu dengan SM Salim. Secara peribadi, saya turut berasa sedih kerana apa yang berlaku pada Aspalela seperti sanggup menutup pintu rezeki anak seni,” katanya.

Sementara itu Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihak YA1M perlu lebih bijak dalam hal berurusan dengan artis legenda kesayangan negara seperti Aspalela kerana jiwa penyanyi veteran lazimnya halus dan mudah tersentuh.

“Pihak SM Salim boleh tentukan siapa artis dipilih sebab ini konsert atas namanya. Tapi cara hal ini dikendalikan menjadi tanda tanya kenapa tidak dapat persetujuan sebelum hubungi penyanyi. Jika buat demikian, saya percaya tiada masalah,” katanya.

Aspalela ketika dihubungi kelmarin mengakui rindu untuk menyanyi kembali bersama ayah saudaranya itu tetapi dia reda apa yang berlaku.

“Saya harap isu ini tidak berpanjangan, saya reda dan terima kasih pada rakan artis yang beri sokongan semangat pada saya,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");