Panasnya Hari Ini

‘Jangan UMNO Dibiarkan Jadi Korban’ – Rafidah

KUALA LUMPUR: Krisis yang berlaku dalam UMNO dilihat semakin meruncing apabila pemimpin veterannya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar daripada parti tersebut semalam.

Namun, bagi bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, apa yang berlaku pada masa kini telah memberi imej buruk kepada cara pentadbiran dalam UMNO.

Jelasnya lagi, UMNO sekarang dilihat sudah lari jauh daripada cogan kata perjuangannya sendiri iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Peristiwa yang terus berlaku dalam politik UMNO nampaknya mula meruncing dan membawa kepada pihak memihak, di kalangan mereka yang dianggap sebagai pemimpin…di kalangan pengikut masing-masing.

“Dimana letaknya usaha untuk bersatu? Apa telah terjadi pada bersetia kepada UMNO? Apakah yang dilakukan dalam konteks berkhidmat?”soalnya menerusi catatan terbaharu di laman media sosial Facebooknya.

Rafidah berkata, tidak pernah ahli-ahli parti disuruh ‘bersatu’ untuk menentang sesama sendiri dalam parti, sebaliknya hanya bersatu untuk menguatkan parti.

“Tidak pernah ahli-ahli berkhidmat untuk kepentingan sesiapa juga, hanya untuk kepentingan parti supaya parti terus mampu menerajui kerajaan untuk bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional, membangunkan negara dan mentadbir untuk kepentingan rakyat,”luahnya.

Kata Rafidah lagi, masalah-masalah yang dihadapi oleh UMNO pada masa kini tidak mungkin selesai hanya dengan pemecatan, keluar parti, mencela satu sama lain dan menunjukkan sifat yang tidak mencerminkan budaya UMNO.

“Mengapa kita biarkan UMNO dikeji oleh sebab kerenah individu-individu? Mengapa parti yang telah sekian lama menaungi bangsa dan rakyat dijadikan mangsa kepada kegagalan individu-individu?

“Mengapa tidak dicari jalan pendamaian, penyatuan, perbincangan dengan ikhlas dan fikiran terbuka? Mengapa dibiarkan berlakunya tindakan-tindakan merosak?”soalnya.

Ujarnya lagi, semua kesilapan yang dilakukan boleh diperbaiki dan mesti diperbetulkan jika keyakinan bangsa serta rakyat hendak dikembalikan.

“UMNO tidak bersalah. Manusia yang membawa dan mendatangkan masalah. Mesti dibezakan antara parti dengan individu.

“Jangan UMNO dibiarkan jadi korban,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");