Berita Hari Ini

Nelayan asing kuasai perikanan

PASIR PUTEH – Cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengkaji semula dasar pemberian lesen bot perikanan laut dalam yang didapati melanggar peraturan disokong nelayan tempatan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Semerak, Datuk Mohd Jelani Jaafar berkata, lebih 1,300 nelayan tradisional di Pasir Puteh dan Bachok mengalu-alukan cadangan bagi mengelak pengusaha asing menguasai sektor berkenaan.

Katanya, kebanyakan pemilik lesen bot menyewakan bot kepada pengusaha bot laut dalam dari negara luar khususnya Vietnam dan Thailand untuk mendapatkan keuntungan mudah.

“Penglibatan nelayan asing ini menyebabkan nelayan tradisional mengalami kerugian apabila bot tersebut sering menceroboh zon eksklusif lapan batu nautika dari pantai yang dikhususkan kepada nelayan tradisional.

“Lebih memburukkan keadaan apabila pencerobohan zon itu menggunakan pukat tunda ganding yang memusnahkan kawasan pembiakan ikan serta menyebabkan banyak pukat dan unjang nelayan pantai rosak teruk,” katanya.

Mohd Jelani berkata, kerajaan mesti bertindak tegas segera kerana perkara ini sudah lama dibangkitkan nelayan pantai.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang mengkaji semula dasar pemberian lesen bot perikanan laut dalam selepas terdapat sebilangan pemiliknya melanggar peraturan perikanan negara dengan menjual hasil tangkapan ke negara jiran.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sudah tiba masanya pemegang lesen itu dipertanggungjawabkan kerana mereka diberi keizinan menangkap khazanah negara dan sewajarnya membawa pulang tangkapan mereka supaya rakyat negara ini mendapat manfaat selain harga ikan menjadi lebih murah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Bachok, Mohd Saripuddin Ishak berkata, bot berkenaan juga hanya mendaratkan sejumlah kecil sahaja hasil tangkapan mereka sebagai memenuhi syarat yang ditetapkan semata-mata untuk mendapatkan pelbagai bentuk subsidi kerajaan.

“Tidak masuk akal mereka hanya mendaratkan ikan baja atau ikan kecil sahaja di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) di Tok Bali, ke mana ikan-ikan bernilai tinggi didaratkan.

“Sudah hampir 10 tahun nelayan asing mengaut keuntungan khazanah laut negara kita kerana mereka dapat menyewa bot kita dengan mudah,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");