Isu Panas

Pakatan Harapan intai enam kerusi

IPOH – Pakatan Harapan Perak sedang mengintai sekurang-kurangnya enam kerusi Dun di negeri ini pada PRU14 sebagai tambahan kerusi yang dimenangi wakil parti masing-masing pada PRU13 lalu.

Kerusi Dun tersebut ialah Manjoi, Pasir Panjang, Lubok Merbau, Manong, Kamunting dan Selama.

Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan keputusan PRU13, kemenangan di enam kerusi itu mampu dicapai jika Pakatan Harapan mampu memperoleh tiga peratus undi orang Melayu.

“Sekiranya kami mampu untuk memenangi lima peratus pengundi Melayu yang menyokong BN untuk menyokong Pakatan Harapan, maka kita mampu untuk memenangi 10 kerusi, iaitu Manjoi, Pasir Panjang, Lubok Merbau, Manong, Kamunting, Selama, Changkat Jong, Rungkup, Bukit Chandan dan Kubu Gajah, sekali gus Pakatan Harapan akan memenangi 38 kerusi di Dun Perak.

“Sekiranya 10 peratus pengundi Melayu meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Harapan dalam PRU14, Pakatan Harapan akan mampu memenangi 17 kerusi dan menubuhkan kerajaan negeri dengan 45 kerusi.

“Kerusi-kerusi yang terlibat termasuk Manjoi, Pasir Panjang, Kamunting, Manong, Lubok Merbau, Selama, Rungkup, Sungai Manik, Kubu Gajah, Bukit Chandan, Chenderoh, Behrang, Alor Pongsu, Bota, Tualang Sekah, Trong dan Kota Tampan,” katanya dalam satu kenyataan selepas terlibat sebagai panel Forum ‘Mampukah Pakatan Harapan Menawan Kembali Perak’ di Sitiawan, baru-baru ini.

Kah Woh berkata, berdasarkan analisis dan kajian yang dilakukan, punca kekalahan Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu disebabkan faktor persempadanan kerusi yang tidak adil dan sokongan pengundi-pengundi Melayu serta pengundi luar bandar yang tidak memuaskan.

Katanya, usaha memenangi hati pengundi-pengundi Melayu dan masyarakat kawasan luar bandar harus diberikan perhatian.

“Secara teori, bukan mustahil untuk Pakatan Harapan sekurang-kurangnya mencapai satu ‘swing’ sebanyak tiga peratus dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu, dengan adannya isu seperti 1MDB, skandal RM2.6 bilion. Namun, mampukah kita?

Menyentuh mengenai kehadiran Amanah dalam Pakatan Harapan, beliau berkata, parti itu akan menjadi penanda aras terhadap peluang mereka untuk kembali menerajui Perak.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");