Sukan Hari Ini

Ratu kolam

Shah Alam: Atlet Selangor, Rosalind Pang (gambar) menutup tirai Kejohanan Renang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dengan kejayaan merangkul lapan emas keseluruhan bagi kategori bawah 18 tahun.

Bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali kedua, Rosalind merangkul dua emas pada hari terakhir kejohanan menewaskan pesaing dalam acara 400 meter gaya bebas dengan masa empat minit 51.06 saat.

Dia seterusnya bergandingan bersama Shannen Kay Chan, Nessa Yip dan Liew Chern Xin untuk membantu Selangor meraih emas bagi kategori B-15 dalam acara 4x100m gaya bebas.

Bagi Rosalind, kejayaan itu menggembirakan dan penyertaan di MSSM menjadi landasan terbaik mengukur kemampuan sebelum turun beraksi di SUKMA.

“Saya meraih satu emas di sini tahun lalu jadi kali ini dengan kejayaan lapan emas ia sesuatu yang cukup memuaskan hati saya.

“Selain itu saya juga berjaya memperbaiki catatan terbaik peribadi dalam acara 50m, 100m dan 200m kuak lentang selain acara 100m gaya bebas.

“Namun sebenarnya saya lebih fokus kepada acara jarak jauh dalam acara gaya bebas dan berharap dapat meraih pingat dalam acara 800m gaya bebas di SUKMA tahun ini,” katanya yang turut menyumbang lapan emas ketika beraksi bagi kategori B-12 pada 2013.

Tiada rekod dipecahkan semalam yang mana menyaksikan Jordan Yip dari Selangor menambah dua lagi emas dalam acara 200m kuak kupu-kupu dan 100m gaya bebas berganti-ganti menjadikan jumlah keseluruhan yang dimenanginya di MSSM kali ini 12 emas.

Hari terakhir pertandingan renang menyaksikan Selangor sekali lagi menguasai carta pungutan pingat dengan kejayaan menggondol 63 emas, 35 perak dan 16 gangsa.

Kuala Lumpur di tempat kedua 17-20-22 dan Melaka ketiga 7-9-12.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");