Isu Panas

Sokong wujud konsensus

IPOH – Pakatan Harapan Perak menyokong usaha mewujudkan konsensus dengan pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dari tampuk pentadbiran.

Pengerusi DAP Perak, Ngar Kor Ming berkata, kerjasama yang akan dilaksanakan itu juga akan tertumpu kepada perancangan untuk memastikan Umno tewas pada PRU14 nanti.

“Setuju, bukan sekadar singkirkan Najib tetapi menyelamatkan rakyat dan juga negara daripada cengkaman parti yang memerintah,” katanya.

Menurutnya, kerjasama Pakatan Harapan dan Mahathir hanya akan termeterai sekiranya bekas Presiden Umno itu bersetuju dengan semua agenda yang diperjuangkan termasuk mengehadkan kuasa perdana menteri.

“Kita akan bekerjasama dengan Tun Mahathir jika beliau setuju dengan agenda reformasi institusi negara termasuk mengehadkan kuasa mutlak perdana menteri, membanteras rasuah dan mengembalikan integriti jabatan kerajaan,” katanya.

Kor Ming berkata, beliau percaya kerjasama akan dilaksanakan itu mendapat sokongan penuh daripada pucuk pimpinan dan ahli Pakatan Harapan.

“Saya yakin akar umbi akan setuju kerana kita juga perlukan sokongan dari pelbagai pihak termasuk akar umbi Umno yang muak dengan sikap pemimpin tamak dan bersifat pengampu semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk Mahathir amat penting bagi melumpuhkan kuasa BN selaku parti pemerintah.

“Selaku bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri, beliau sudah cuba pelbagai perkara (baiki) tapi tak boleh,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Mahathir untuk keluar Umno merupakan langkah bijak dan perlu diikuti oleh ahli parti berkenaan.

“Lebih baik semua ahli Umno tak kira peringkat keluar Umno. Ikut macam mana yang Mahathir buat, anda selamat,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau yakin tindakan Mahathir keluar daripada Umno itu akan diikuti oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam masa terdekat.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");