Membawang Hari Ini

Vanidah hanya pilih karya bagus

Dipilih menjayakan program realiti ‘gameshow’ terbaru terbitan TV3, Clever Girl sebagai ikon, menemukan Vanidah Imran dan Cheryl Samad. Mereka sama-sama menjadi penggiat seni dan pernah menghiasi layar lebar dan kaca TV.

Vanidah adalah pelakon berkaliber dan bakat dimiliki pernah diiktiraf industri apabila menang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) menerusi Red Kebaya.

Selain itu, pelakon yang mencipta nama menerusi filem Perempuan Melayu Terakhir itu juga dikenali sebagai penari serta pengacara dan pernah menjayakan pementasan Mak Yong Kesaktian Anak Raja Gondang di Istana Budaya dan mengendalikan program Nona di TV3.

Cheryl pula lebih popular sebagai pengacara tetapi pernah menunjukkan bakatnya dalam dunia lakonan apabila membintangi beberapa drama bersiri antaranya Ghost selama dua musim.

Begitupun, kebelakangan ini kedua-dua bintang yang masih diminati ramai itu agak sepi daripada sebarang filem, drama mahupun program TV.

Ditemui pada majlis pelancaran Clever Girl yang bakal disiarkan di TV3 bermula bulan ini, Vanidah akui memilih kerana hanya mahu bekerja dalam karya bagus membuatkan peminat melihat pembabitannya dalam penerbitan drama mahupun filem tempatan agak terbatas sekarang.

Baru memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Universiti Terbuka Malaysia tahun lalu, Vanidah mengatakan dirinya tidaklah menyepi terus sebaliknya sesekali ada juga muncul di TV.

“Saya masih aktif sebenarnya. Akan datang drama bersiri terbaru lakonan saya akan disiarkan di RTM. Saya bergandingan dengan Khir Rahman. Saya bersetuju berlakon dalam drama ini kerana skripnya sangat bagus dan berbeza,” katanya.

Selain menjadi ikon Clever Girl, dia juga sibuk dengan bidang pengacaraan dan baru saja selesai mengendalikan Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Istana Budaya.

Dia juga terbabit dengan pementasan Teater Muzikal Randai Cinduo Mato yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 25 hingga 27 Mac depan.

Isteri pelakon dan penyanyi Rashidi Ishak ini akui harus memilih memandangkan untuk terbabit dalam satu-satu projek atau produksi banyak pengorbanan harus dilakukan.

“Paling utama, apabila saya memberikan persetujuan untuk berlakon dalam filem mahupun drama, saya harus meninggalkan anak-anak di rumah.

“Memikirkan perkara itu, pada saya biarlah kerja yang saya buat itu benar-benar berbaloi dengan pengorbanan yang harus dibuat.

“Saya juga tidak mahu berlakon watak yang sama. Saya mahu mencari kelainan dan mahu mencabar diri dan bakat yang ada. Paling penting bagi saya, biarlah pembabitan saya dalam sesuatu projek itu boleh memberikan saya ilmu,” katanya.

Tegas Vanidah, dia membabitkan diri dalam pementasan Teater Muzikal Randai Cinduo Mato kerana mahu mengenali budaya tarian randai itu sendiri.

“Sebelum ini saya berlakon dalam Mak Yong kerana mahu belajar seni budaya tempatan yang disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘Intangible Heritage’.

“Sekurang-kurangnya sebagai penggiat seni, dengan adanya ilmu yang dikutip saya dapat berkongsi bagi meneruskan kelangsungan budaya seni tempatan,” katanya.

Mengenai pemilihannya sebagai ikon dalam Clever Girl, Vanidah akui dia bersetuju menerima tawaran diberikan kerana ia khusus untuk wanita.

“Saya malu apabila dipanggil ikon untuk menjayakan program ini tetapi mungkin pihak penerbitan mempunyai sebab mengapa memilih saya dan mengangkat untuk dijadikan ikon mereka.

“Sebagai selebriti dan diangkat ikon, banyak perkara yang perlu dijaga terutama membabitkan sikap dan peradaban. Mungkin mereka melihat saya dapat membantu pada sudut itu,” katanya.

Jelas Vanidah, sekiranya hendak dinilai daripada latar belakang peserta mereka memang bijak dan mempunyai latar pendidikan juga kerjaya yang bagus.

“Cuma sebagai orang baru dalam industri penerbitan dan seni, mereka tidak mempunyai ilmu itu jadi saya dilantik untuk membimbing mereka terutama membabitkan kerja-kerja penerbitan, sebagai contoh bagaimana hendak berhadapan dengan kamera.

“Saya sendiri senang apabila dapat berkongsi ilmu yang ada dengan mereka. Harapnya apa yang saya kongsikan nanti sangat berguna kepada mereka,” katanya.

3 jam untuk diri sendiri

Sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu, ramai beranggapan pengacara yang sangat sinonim dengan rancangan Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu, Cheryl Samad, 36, tidak lagi berminat untuk beraksi di hadapan kamera.

Wanita kacukan Melayu Portugis ini akui ada yang mengatakan dia mahu bersara daripada dunia penyiaran. Hakikat sebenarnya kata Cheryl, dia tidak pernah memberi kenyataan seperti itu sebaliknya semua itu dibuat atas persepsi umum.

“Tapi saya akui kerana kesibukan menguruskan anak mungkin membataskan waktu untuk saya terus aktif. Apa pun, permintaan untuk saya mengacarakan majlis masih ada.

“Waktu sama tidak dinafikan saya juga sibuk menguruskan kafe sendiri yang diusahakan bersama suami. Orang mungkin ingat saya tidak lagi berminat untuk mengacara apabila saya tidak lagi muncul di TV dan kini sibuk dengan kafe pula,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata, Stella, 3, berkata, kalau hendak diikutkan jadual kerjanya menguruskan rumah tangga, anak dan kafe memang agak padat.

Katanya, harinya bermula seawal 6.30 pagi kerana dia memang tidak percaya kepada orang lain untuk menguruskan anaknya.

Tambah pula sekarang ini pelbagai kejadian membabitkan bayi dan anak yang selalu didengar.

“Pada saya, biarlah penat sekarang asalkan kebajikan anak dan keluarga terjamin. Difikirkan kembali dengan kesibukan tugasan harian dan menguruskan kafe memang penat.

“Kalau dihitung, saya hanya ada masa tiga jam saja untuk diri sendiri. Begitupun, saya berasa puas kerana dapat melakukan semuanya sendiri,” katanya.

Pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya pada 2004 ini berkata, minatnya terhadap bidang pengacaraan masih ada, cuma dia cuba mengembangkan kebolehan dimiliki dengan mengendalikan program pelbagai.

Tambah pula sebelum ini dia pernah mengacara program berbentuk kewanitaan dan sukan.

Begitupun, untuk bergerak aktif buat masa terdekat kata Cheryl agak terbatas memandangkan dia kini sarat mengandung dan usia kandungan sudah masuk enam bulan.

“Mujur apabila dipelawa menyertai program Clever Girl ini, episod terakhir akan disiarkan dalam tempoh saya hampir melahirkan. Jadi, buat masa terdekat ini saya masih mampu memberikan komitmen,” katanya.

Cheryl yang berkahwin dengan ahli perniagaan berbangsa Cina, Ng Ping Ho pada 30 April 2011, melahirkan anak pertama pada 18 Oktober 2013.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");