Membawang Hari Ini

Zarith berdebar ke Los Angeles

Minat menyanyi sejak di bangku sekolah, Zarith Sofea Md Yasin atau Zarith, 23, berharap kehadirannya dalam industri hiburan tanah air dapat diterima ramai.

Pemenang program realiti terbitan KRU Studios Sdn Bhd, Rockers: Pentas Panas itu sanggup bekerja keras demi mereliasikan impiannya bergelar penyanyi terkenal.

Sebelum ini, anak jati Johor Bahru itu aktif menjayakan persembahan di hotel, kelab dan majlis anjuran pelbagai pihak.

“Lebih lima tahun saya menyanyi dan syukur impian untuk masuk ke arus perdana jadi kenyataan apabila menyertai Rockers: Pentas Panas.

“Inilah peluang yang saya nanti-nantikan sejak dulu,” katanya.

Masih mentah dan tidak arif dengan selok-belok dunia hiburan tanah air, Zarith mengakui berdebar memikirkan persaingan dan cabaran yang bakal ditempuh.

“Saya sedia maklum persaingan dalam industri sangat sengit. Lebih merisaukan, adakah kehadiran saya dapat diterima orang ramai atau sebaliknya.

“Saya juga kena persiapkan diri untuk berdepan macam-macam dugaan termasuklah kontroversi,” katanya.

Gelaran juara yang disandang melayakkan Zarith ke Los Angeles untuk merakamkan lagu dan meraih hadiah wang tunai RM50,000.

Ternyata rezeki itu tidak pernah terlintas di benaknya, sekali gus buat dia kian teruja untuk menikmati pengalaman itu.

“Saya belum pasti tarikh ke sana, tetapi difahamkan pengurusan sedang menguruskan dokumen perjalanan.

“Perkara itu saya serahkan kepada mereka dan saya kena persiapkan diri kerana proses rakaman di sana tidak sama di sini. Malah, cara kerja juga mungkin berbeza, jadi kenalah benar-benar bersedia,” katanya.

Mengimbas kenangan sepanjang pertandingan itu, Zarith berkata, bukan sahaja dapat berjumpa ramai kenalan baru, dia juga dapat beguru dengan komposer terkenal, Datuk Ramli Sarip.

“Menerusi program ini saya dapat belajar banyak perkara baru termasuklah teknik nyanyian yang betul. Ramai membantu saya, lebih-lebih lagi Datuk Ramli.

“Saya sangat berbesar hati dapat berguru dengannya. Datuk Ramli turut mengingatkan saya supaya sentiasa merendah diri dan jangan jadi kacang lupakan kulit,” katanya.

Zarith ditemui bersama empat finalis Rockers: Pentas Panas lain iaitu Nona, Awal, Dans dan Liawanis pada sesi pelancaran single digital mereka, baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Operasi KRU Music, Rizal Sahimy serta Ketua Saluran Tempatan dan Media Baru TM, Wan Rozita.

Disiarkan di HyppSensasi (saluran 116) HyppTV, Norman berharap jenama Rockers: Pentas Panas semakin kukuh dan menjadi program realiti paling dinanti peminat.

“Sambutan terhadap program ini sangat memberangsangkan dan saya yakin ada ramai pengikut.

“Buat masa ini, belum ada perancangan tampil dengan musim kedua kerana fokus kami sekarang adalah mengukuhkan jenama program ini terlebih dulu,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");