Sukan Hari Ini

Angin tak gugat Spieth

Augusta, Georgia: Angin kencang mencetuskan keadaan tidak selesa ketika pusingan kedua berlangsung di Lapangan Kebangsaan Augusta, tetapi keadaan itu tidak cukup untuk menjejaskan aksi Jordan Spieth yang kekal pendahulu Kejohanan Masters sambil Rory McIlroy mempamer peningkatan dalam usaha muncul juara.

Tiupan angin membuatkan pohon pain Georgia di lapangan berkenaan kelihatan seperti mahu tumbang tetapi juara bertahan, Spieth tetap tenang dan mengekalkan pendahuluannya walaupun kelebihan lima pukulan dinikmatinya sebelum ini hanya tinggal satu gara-gara catatan dua atas par 74 yang dilakukannya semalam.

McIlroy yang memulakan hari kedua dengan ketinggalan empat pukulan di belakang Spieth, bangkit mempersembahkan permainan mengagumkan di sembilan lubang kedua.

McIlroy dilihat agak kelam kabut apabila menamatkan sembilan lubang pertama dengan 37 pukulan tetapi tiga birdie sepanjang enam lubang terakhir di sembilan kedua membolehkan dia mencatat 71 pukulan yang juga catatan terendah hari kedua.

Jika pemain nombor tiga dunia itu berjaya hari ini, dia bakal menjadi pemain keenam memenangi semua empat kejohanan riben biru dalam golf, menyertai Tiger Woods, Jack Nicklaus, Gary Player, Ben Hogan dan Gene Sarazen.

“Saya tidak mahu memikirkan soal itu,” kata juara kejohanan utama empat kali, McIlroy. “Saya mahu cuba mengalahkan pemain di kejohanan ini terlebih dulu kerana mereka saya tewaskan sebelum ini. Justeru, saya perlukan lebih tumpuan kerana pernah berada di kedudukan ini sebelum ini.

“Mungkin ia berlaku di lapangan lain tapi di kejohanan besar sebelum ini, saya pernah mengejar dari belakang dan berjaya. Itu pendekatan yang akan saya gunakan nanti.”

Pemain New Zealand Danny Lee (74) dan pemain Amerika Syarikat Scott Piercy (72) ketinggalan dua pukulan manakala pemain Jepun Hideki Matsuyama (72), bintang Denmark Soren Kjeldsen (74) serta seorang lagi wakil tuan rumah Brandt Snedeker (72) mengekori rapat di belakang dengan tercicir satu pukulan.

“Ia memang sukar. Sangat sukar,” kata Spieth. “Kami sentiasa mengingatkan diri sendiri par saja sudah cukup bagus apabila bermain dalam keadaan begini.

“Tapi angin kencang memaksa kami mengubah permainan. Lapangan ini sangat mencabar buat kami.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");