Perak Hari Ini

‘Bagi Kami Ruang, Hentikan Viral itu’

KUALA KANGSAR: Baru-baru ini laman media sosial Facebook telah viral dengan satu kisah mengenai sembilan orang adik beradik yang kehilangan ibu (Roshidah Nordin) akibat mengalami komplikasi selepas lapan hari melahirkan bayi kembar lelaki.

Paling menyentuh hati apabila Roshidah meninggal dunia selepas lapan hari melahirkan bayi kembar.

Manakala ayahnya pula didakwa bekerja sebagai pemandu lori.

Namun begitu, kisah sebenar kehidupan keluarga tersebut telah dijelaskan kepada pihak media melalui pertemuan yang dilakukan bersama ahli keluarga terdekat di rumah arwah yang terletak di Changkat Jambu, Kati dekat Kuala Kangsar.

Adik kepada arwah, Abdul Razak Nordin, 44, hari ini tampil menjelaskan bahawa perkara yang telah menjadi viral berkenaan adalah tidak benar.

ABDUL RAZAK NORDIN, 44 (ADIK ARWAH ROSHIDAH)

Jelasnya, suami dan ahli keluarga arwah kakaknya itu masih mampu menanggung sembilan orang adik beradik berkenaan.

“Saya bagi pihak keluarga di sini ingin menjelaskan bahawa perkara ini telah disalah ertikan yang mana sebenarnya kami tidak ada masalah, tidak ada yang perlu dibimbangkan.

“Segala kelengkapan dan bantuan itu adik beradik kami mampu untuk tanggung,” katanya kepada media ketika ditemui di sini, hari ini.

Justeru, beliau telah meminta kepada pihak yang menyebarkan perkara tersebut untuk menghentikannya serta merta.

“Saya minta sesiapa yang melakukan, menghebahkan dan mensensasikan benda ini saya minta dihentikan dengan serta merta.

“Saya mohon sebagai ahli waris keluarga di sini minta diberi ruang dan privasi. Kami benar-benar mohon privasi dan mohon kerjasama daripada semua pihak,” katanya lagi.

Beliau juga berharap perkara itu tidak menjadi satu isu selepas ini dan dijadikan sebagai satu agenda untuk kepentingan tertentu.

Tegasnya, semenjak kisah itu menjadi viral, ahli keluarganya tidak putus-putus menerima kunjungan dan panggilan telefon sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai peluang untuk menguruskan perkara yang sepatutnya dilakukan.

“Kami masih lagi berada dalam keadaan sedih, saya minta pihak yang berkenaan untuk memahami kami sebab kami pun tidak sempat nak buat apa-apa.

AZAM ABDUL MUTALIB (SEPUPU ARWAH ROSHIDAH)

“Dari hari yang pertama sehingga ke hari ini, kami tidak mempunyai peluang untuk menziarahi pusara arwah kakak,” tegasnya lagi.

Sementara itu, sepupu kepada arwah, Azam Abdul Mutalib berkata, viral berkenaan telah mewujudkan intrepretasi yang lain daripada yang sepatutnya.

Jelasnya, pihak keluarga terpaksa menerangkan perkara sebenar supaya tidak mahu orang menyalahertikan tentang apa yang diviralkan tersebut.

“Kami tidak menghalang kepada sesiapa yang ingin memberikan bantuan kerana ni perkara yang baik, cuma kalau boleh kita hentikanlah perkara ini daripada disensasikan, itu sahaja,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Roshidah telah meninggalkan sembilan orang anak yang mana paling sulung berumur 14 tahun dan paling muda kembar lelaki berusia 9 hari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");