Berita Hari Ini

Cuaca panas tak jejas kedatangan pelancong

LANGKAWI – Cuaca panas yang berlaku sejak awal tahun ini ekoran fenomena El Nino, tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke negeri Kedah, khususnya Langkawi.

Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, aktiviti-aktiviti pelancongan termasuk yang dirancang di bawah program Discover Kedah 2016 setakat ini tetap dilaksanakan mengikut jadual biarpun ada di antaranya yang diadakan di kawasan terbuka.

“Cuaca mungkin mengehadkan pergerakan mereka tetapi ia tidak menghalang mereka (pelancong) untuk datang kerana mereka juga suka cuaca yang panas,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada penggerak pelancongan Kedah yang telah menyertai Pesta Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) 2016 di Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mac lepas.

Menurutnya untuk Langkawi, kehadiran pelancong yang tetap tinggi terbukti apabila pengusaha-pengusaha hotel di sini mencapai kadar penghunian antara 75 dan 90 peratus sejak Januari lepas.

Sementara itu, Pengarah Tourism Kedah Roslan Othman berkata, Kedah mencatatkan jualan pakej pelancongan tertinggi berjumlah RM1.74 juta dalam pesta tiga hari itu.

Beliau berkata, kejayaan itu mengatasi jualan pakej daripada saingan terdekat iaitu Terengganu yang mencatat RM1.05 juta dan Pahang (RM1.01 juta).

Roslan berkata hasil jualan pakej pelancongan daripada 14 buah syarikat pelancongan dan hotel di Kedah yang mengambil bahagian dalam Matta Fair itu meningkat sebanyak 38.5 peratus berbanding tahun lepas.

“(Sebanyak) 23,973 pakej telah terjual pada (Matta Fair) kali ini berbanding pada pameran bulan Mac 2015 iaitu hanya 17,043 pakej,” katanya ketika ditemui pada majlis yang sama.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi kemuncak kepada usaha berterusan Tourism Malaysia Kedah yang telah mengadakan beberapa siri bengkel dan seminar untuk membangun dan menambah baik lagi pakej-pakej pelancongan di negeri ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");