Jenayah

‘Dah nasib kami’

Alor Setar: “Kakak (wartawan) boleh belikan Shahrul basikal… basikal Shahrul tak dak (tiada) dah, kena bakaq (bakar). Depa (mereka) khianat. Mama, kakak ni datang nak bantu kita ke.”

Begitu luahan Shahrul Hakimi Mohd Firdaus, 9, yang membuatkan hati tersentuh selepas gambar ibunya, Nor Hayati Che Lah, 31, menjadi viral di laman sosial Facebook apabila didakwa sering kelihatan meminta sedekah selain menjual kerepek dan asam berharga RM1 di pusat bandar ini.

Malah, kanak-kanak berkenaan tanpa segan silu meminta untuk dibelikan basikal baru untuk dibawa ke sekolah bagi menimba ilmu.

Nor Hayati yang menyewa bilik kecil di sebuah rumah di Lorong Tangki, Jalan Limbong Kapal, di sini, berkata, kehidupannya bersama dua anak lain, Syuhaimi Shahiwan, 10, dan Nor Hana Atikah Maisarah, 2, begitu menderita kerana kesempitan kewangan.

Menurutnya, walaupun kudratnya kelihatan sihat dan mampu bekerja seperti insan lain, tetapi tiada siapa tahu keresahan hatinya akibat kesusahan dialami mereka sejak ketiadaan suaminya yang dipenjarakan pada awal tahun ini.

“Selagi ada tulang empat kerat, saya akan menggunakannya sebaik mungkin bagi mencari rezeki halal buat anak-anak selain perlu cekal menjalani kehidupan sehingga suami dibebaskan semula.

“Walaupun hasil jualan tidak banyak iaitu antara RM20 ke RM30 sehari, namun kadangkala saya mendapat lebih daripada itu kerana ada pembeli yang baik hati dan kasihankan kami anak-beranak akan bersedekah wang,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, kelmarin.

Lebih merunsingkan Nor Hayati apabila anak bongsunya, Nor Hana kini dimasukkan ke wad HSB sejak dua hari lalu akibat sawan selepas diserang demam panas.

“Menurut doktor, keadaan adik (Nor Hana) bertambah pulih dan mungkin dibenarkan keluar esok (semalam), namun bergantung kepada keadaan semasa selepas pemeriksaan rapi oleh pakar perubatan berikutan dia kerap menangis.

“Pada masa sama, saya juga sudah berbincang dengan pihak hospital untuk membayar separuh bil dahulu manakala bakinya diselesaikan apabila mempunyai wang kelak,” katanya.

Katanya, dia juga mengucapkan terima kasih kepada seorang wanita yang membantu menghantarnya pulang ke rumah sebelum kesusahan hidupnya itu menjadi viral.

“Sejak kejadian (viral) itu ramai yang menghubungi untuk bertanya khabar dan memberi bantuan. Saya berterima kasih kepada wanita terbabit kerana kami tidak sempat berbual panjang.

“Saya tidak tahu di mana mahu mencarinya dan berharap suatu hari nanti dapat bertemu semula untuk membalas jasanya,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");