Sukan Hari Ini

Galacticos ikrar ‘takluk’ Wolfsburg

Madrid: Real Madrid bertekad mencipta suasana gerun buat VfL Wolfsburg dalam usaha mengubah defisit dua gol dalam pertemuan suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

“Selasa ini (awal pagi esok) akan menjadi seperti perang dengan 80,000 penonton, kami akan cuba menakluk Wolfsburg,” kata pertahanan Dani Carvajal.

“Kami akan bermain bermati-matian dan dengan 80,000 jiwa di belakang kami, kami akan melakukannya,” kata pemain sayap Lucas Vazquez.

Penyerang Cristiano Ronaldo memberitahu laman web kelab itu (www.realmadrid.com): “Kami perlu berhati kejam, bermain dengan sabar dan tahu bagaimana untuk menderita. Melepasi peringkat berikutnya adalah matlamat utama kami, ia satu-satunya perkara yang membuatkan pemain dan peminat meninggalkan stadium dengan gembira.”

Madrid di tangga ketiga La Liga dan meraih kemenangan 4-0 ke atas Eibar Sabtu lalu untuk merapatkan jurang dengan pandahulu Barcelona kepada empat mata, menaikkan kembali semangat mereka selepas kalah mengejut 0-2 kepada Wolsburg minggu lalu.

Skuad Jerman itu berada di tangga kelapan Bundesliga, seri 1-1 dengan Mainz Sabtu lalu.

Real, juara Eropah 10 kali pernah beberapa kali melakukan kebangkitan di Bernabeu, bermula dengan kemenangan 5-1 ke atas Derby County dalam Piala Eropah 1975 selepas tewas 1-4 di England.

Madrid menewaskan Inter Milan 3-0 untuk mara ke final Piala UEFA 1985 selepas tewas aksi separuh akhir pertama 0-2, apabila pemain Juanito memberi amaran buat Inter: “Sembilan puluh minit di Bernabeu satu tempoh yang terlalu lama.”
– Reuters/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");