Sukan Hari Ini

Kadar gaji jurulatih luar ikut nilai pasaran

PELANTIKAN dan penentuan kadar gaji jurulatih luar negara yang berkhidmat di Malaysia adalah berdasarkan ‘nilai pasaran’ seseorang jurulatih yang dipengaruhi oleh negara asalnya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan berkata, kadar gaji mereka juga bergantung kepada prestasi sebelum dan semasa jurulatih berkenaan serta cadangan daripada badan sukan antarabangsa beserta gaji dan syarat-syarat lain.

“Pihak Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) perlu mencadangkan calon-calon jurulatih luar negara ini melalui Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi setiap jenis sukan untuk dibincangkan dan dipersetujui,” katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam sama ada kementerian mempunyai panduan bagi bayaran jurulatih sukan luar negara dan tempatan.

Sehingga kini, ada 72 orang jurulatih luar negara yang berkhidmat di negara ini melibatkan 20 jenis sukan di bawah program latihan pelbagai peringkat yang dilaksanakan oleh MSN bersama PSK.

Daripada jumlah itu, 35 jurulatih ditempatkan bagi program senior, 13 orang bagi program pelapis kebangsaan, lima orang bagi program pelapis serantau dan 19 orang program pelapis negeri.

Bagi jurulatih tempatan, kementerian melaksanakan Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) bagi menentukan tangga gaji dan elaun yang kompetitif dan menarik di semua peringkat, berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK).

Pelaksanaan skim gaji baharu itu bermula pada 2014 bagi menambah baik garis panduan lama yang dilaksanakan sejak ia diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) pada 2006.

Sebanyak 197 orang jurulatih tempatan sedang berkhidmat bagi melatih atlet di bawah program latihan pelbagai peringkat manakala 219 orang jurulatih tempatan berkhidmat di luar negara.

“Kementerian tidak menafikan terdapat perbezaan gaji antara jurulatih tempatan dan luar negara berdasarkan skim dan panduan yang tertentu. Namun ketika ini jurulatih tempatan juga memperoleh gaji dan elaun yang kompetitif dan menarik,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");