Perak Hari Ini

Muzium TLDM Bakal Diwujudkan

LUMUT: Sebuah muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal diwujudkan di persisiran pantai di bahagian luar Pangkalan TLDM Lumut.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pembinaan muzium tersebut melibatkan kerjasama antara TLDM, pihak Kementerian Pertahanan dan juga Kerajaan Negeri Perak.

Ujarnya, beliau telah mengangkat sembah maklum kepada Sultan Selangor selaku Kapten Yang Dipertua TLDM (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) dan kedua-dua Tuanku berasa senang serta menyokong hasrat TLDM untuk mewujudkan muzium tersebut.

8

Jelasnya, muzium berkenaan mampu menjadi ikon di negeri Perak khususnya di bandar tentera laut berkenaan.

 

Ahmad Kamarulzaman berkata lagi, muzium yang dijangkakan siap dalam tempoh dua tahun itu akan dibina di kawasan yang dianggarkan berkeluasan 2.4 hektar.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri yang mana mereka akan menyediakan tempat di satu kawasan persisiran pantai yang kita akan tambak berhampiran luar Pangkalan TLDM lumut.

“Ini kerana kita hendak memberi kemudahan kepada masyarakat, orang awam dan juga pelancong untuk mengunjunginya.

9

“Kawasan itu juga agak menarik berikutan ia akan menjadi ‘viewing point’ kerana daripada tapak muzium ini nanti mereka dapat melihat pangkalan TLDM dari bahagian laut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-82 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Kamarulzaman telah membaca perutusan Hari TLDM ke-82 dan merasmikan Majlis Pelancaran Internet Jalur Lebar Bersepadu Pangkalan Lumut, Portal Rasmi TLDM berwajah baharu, Sistem Pengurusan Sumber Manusia dan Laman Sesawang Pusat Sumber Maritim dan Sejarah TLDM.

Turut hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Panglima Bantuan TLDM, Laksamana Madya Datuk Abdul Ghani Othman.

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, muzium tersebut berbeza dengan muzium lain kerana ia mempunyai satu kualiti yang tinggi yang bertaraf dunia disamping mengetengahkan konsep ‘touch, feel, experience’ agar pengunjung dapat merasai pengalaman disamping mengetahui peranan TLDM.

“Muzium ini bukan sahaja akan memaparkan atau meletakkan artifak-artifak sejarah, tetapi lebih daripada itu yang mana ia akan melihat bagaimana pembangunan TLDM daripada dahulu, sekarang dan akan datang.

“Selain itu, apabila kita melupuskan atau melucut tauliah kapal-kapal yang lama, mungkin sebahagian daripada kapal-kapal yang terpilih juga akan dihadiahkan atau diletakkan di muzium ini untuk dilawati oleh semua,” katanya.

Tambahnya, pembinaan Muzium TLDM itu juga selaras dengan kemajuan dan pembangunan bandar Lumut yang terkenal sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim.

“Kita harapkan bila ianya siap kelak, akan dapat menjadi tarikan kepada orang ramai untuk lihat muzium ini,” ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 10 kontinjen yang melibatkan 21 pegawai dan 543 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) termasuk pengawal medan telah menyertai Perbarisan Istiadat Sempena Sambutan Hari TLDM Ke-82 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, di sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");