Panasnya Hari Ini

Najib Perlu Mohon Maaf, Letak Jawatan Menteri Kewangan – PAS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berundur sebagai Menteri Kewangan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun laporan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menuding kepada Najib, namun berdasarkan Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A), 1MDB menyatakan dengan jelas bahawa syarikat itu perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri.

“Kebenaran itu termasuklah untuk sebarang perubahan terhadap M&A syarikat sama ada secara keseluruhan ataupun sebahagiannya. Kedua, perlantikan dan penamatan mana-mana pengarah (termasuk Pengarah Urusan dan Pengarah Alternatif) serta Pengurusan Tertinggi Syarikat.

“Dan sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan semula atau perkara berkaitan jaminan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk kepentingan syarikat, kepentingan negara, keselamatan negara atau sebagai polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia. Atas tujuan ini, penentuan maksud kepentingan negara, keselamatan negara dan polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia hendaklah dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia,”ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, terdapat dua pelaburan yang dilakukan oleh 1MDB yang masih menjadi misteri untuk PAC iaitu melibatkan pelaburan berjumlah USD2.318 bilion melalui Bridge Global Absolute Return Fund SPC yang berusia sebulan dan tiada lesen pengurus dana dan tiada pengalaman untuk menguruskan dana yang besar.

“Kedua, penyaluran dana sebanyak US993 juta kepada Aabar Ltd yang 1MDB masih belum mengemukakan sebarang pengesahan bahawa ianya merupakan anak syarikat kepada IPIC atau Aabar Investment PJS (Abu Dhabi).

“PAC gagal mengesan pengaliran kedua-dua pelaburan ini kerana keengganan pihak 1MDB memberikan penyata akaun bank luar negara,”ujarnya.

Berikutan itu, Tuan Ibrahim berkata, selain daripada menuntut Najib memohon maaf secara terbuka dan melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan, PAS juga menyokong penuh tindakan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai’ terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti berkenaan wang sejumlah USD1.83 bilion yang berada di luar negara agar integriti sistem kewangan terjaga.

“Selain itu, PAS juga memberikan sokongan penuh selaku PM kepada PAC dan BNM untuk mengesan aliran tunai pelaburan 1MDB ke Bridge Globas SPC dan Aabar Ltd dengan mengarahkan 1MDB mengemukakan penyata bank luar negara untuk disemak dan diteliti.

“Akhir sekali, PAS menuntut agar melepaskan laporan audit 1MDB ke awam untuk menjaga integriti laporan PAC,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");