Sukan Hari Ini

Peluang terbaik TRW lakar kemenangan

K DEVAN sekali lagi menaruh keyakinan tinggi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors akan meneruskan aksi cemerlang apabila turun menentang Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Pengendali Kelantan itu melihat kejayaan pasukannya mengikat keputusan seri ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini menyuntik kekuatan baharu untuk mereka mengatasi Pahang sekali gus meraih tiga mata di kubu kuat skuad Tok Gajah itu.

“Saya boleh katakan persiapan pasukan ketika ini sangat bagus. Saya tengok komitmen dan konsentrasi semua pemain dalam latihan begitu baik dan saya fikir mereka sudah mencapai paras keyakinan tinggi setelah seri dengan JDT baru-baru ini.

“Ini peluang terbaik Kelantan untuk mengutip mata penuh. Kita ada objektif dalam perlawanan ini dan saya minta semua pemain memberi sepenuh perhatian apabila bertemu Pahang malam esok (ini),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, kemenangan ke atas Pahang FC bukan sahaja penting untuk pasukannya memperbaiki kedudukan liga malah ia lebih terarah kepada suntikan moral bagi menghadapi aksi seterusnya menentang musuh tradisi, Terengganu di laman sendiri.

Jurulatih berusia 54 tahun itu turut menyifatkan ketiadaan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Muslim Ahmad tidak menjejaskan perancangannya kerana dia masih memiliki alternatif lain dalam menamakan barisan terkuat untuk menghadapi Pahang.

Katanya, kedua-dua pemain itu terpaksa diketepikan akibat penggantungan manakala Brendan Gan yang mengadu mengalami sedikit kecederaan paha kemungkinan besar tetap berada dalam senarai 18 pemain.

“Saya setuju (kenyataan) Indra Putra dan Mohd Muslim adalah pemain penting dalam pasukan ini tetapi ini adalah peluang untuk pemain lain membuktikan kebolehan mereka. Saya yakin Mohd Farisham (Ismail) dan (Jonatan) Lucca boleh isi kekosongan tempat itu dan menjalankan tugas dengan baik nanti,” katanya.

Dalam masa sama, bekas jurulatih Negeri Sembilan itu kembali mengingatkan anak didiknya agar berwaspada dengan ancaman Pahang FC terutama selepas pasukan pantai timur itu meraih kemenangan pertama menewaskan Perak, tempoh hari.

“Pahang seperti kita tahu di bawah kendalian Razip Ismail sudah menunjukkan peningkatan dan kemenangan ke atas Perak pastinya memberi lebih semangat kepada mereka untuk memberi tentangan hebat malam esok (ini),” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");