Jenayah

Suspek jenayah rempuh kereta polis

KUALA BERANG: Kecekapan komunikasi antara bilik gerakan dan anggota bertugas berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki meloloskan diri sejauh lebih 50 kilometer setelah bertindak berani merempuh kenderaan polis, tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suspek yang memandu Mitsubishi Pajero terlebih dahulu melanggar Proton Preve dinaiki polis di Kuala Berang sebelum dia diberkas sekitar jam 6 pagi semalam di Chalok, Setiu, selepas dikejar pihak polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Hussin Deraman berkata, sewaktu membuat rondaan Ops Lejang di sekitar Kuala Berang, anggota bertugas menerima panggilan bilik gerakan IPD memaklumkan suspek yang memandu kenderaan curi.

“Semasa berada di jalan besar hadapan Pejabat Daerah Hulu Terengganu, anggota kita terserempak dengan pacuan empat roda dimaklumkan itu lalu memberikan isyarat tangan supaya pemandu iaitu suspek berhenti.

“Bagaimanapun, suspek bukan sahaja tidak mengendahkan tetapi bertindak melanggar bahagian belakang kenderaan polis sebelum memecut ke arah Kampung Gaung, Kuala Berang dan dikejar anggota polis tersebut,” katanya.

Menurutnya, suspek tiba-tiba menghimpit kenderaan polis di bahagian hadapan kiri ketika tiba di persimpangan Kampung Gaung, sebelum melarikan diri ke arah Sungai Tong, Setiu.

“Kecekapan komunikasi antara bilik gerakan dengan anggota bertugas, akhirnya berjaya menumpaskan suspek. Pihak polis mengejar suspek yang beralamat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sejauh lebih 50 kilometer dengan empat kenderaan polis.

“Suspek kini ditahan di lokap IPD Setiu untuk siasatan lanjut dan dia turut mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah,” katanya.

Tambah Hussin, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan suspek juga merupakan individu dikehendaki polis.

Katanya lagi, susulan rempuhan, kenderaan dinaiki dua anggota polis itu rosak di bahagian bumper belakang kiri dan lampu belakang kiri, bagaimanapun anggota terbabit tidak cedera.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");