Membawang Hari Ini

Tak bersedia terima wanita lain

Sebelum ini industri hiburan tanah air kecoh apabila pelakon Syazwan Zulkifly, 29, didakwa mengasari teman wanitanya yang juga pelakon dan pengacara, Shenty Feliziana sehingga mendatangkan kecederaan.

Insiden yang berlaku pada November tahun lalu itu membuatkan ikatan percintaan mereka selama lima bulan akhirnya putus di tengah jalan.

Namun, Syazwan yang mula dikenali menerusi menerusi watak Kepeng dalam drama bersiri Juvana ini mengakui masih menyayangi bekas kekasihnya itu.

Menurut Syazwan, selepas mereka putus sehingga sekarang, perasaan cinta dan sayangnya terhadap pengacara program hLive! itu tidak pernah padam.

“Sejujurnya dalam diri ini masih ada perasaan cinta dan kasih. Malah, rasa itu tidak pernah berkurang dan hilang walaupun kami bukan lagi pasangan kekasih.

“Dia seorang wanita yang sangat baik. Jadi mustahil untuk saya melupakannya dengan sekelip mata. Seandainya suatu hari nanti dia kata nak berbaik dan kembali bersama, saya tidak menolak,” katanya.

Namun, Syazwan tidak pernah mendesak bekas kekasihnya itu untuk menerimanya semula kerana menyedari kesilapan yang dilakukan.

Menurutnya, selepas mereka putus dia kerap menghantar mesej kepada Shenty, namun tidak berbalas.

“Walaupun perasaan cinta itu masih kuat dalam diri ini, saya tidaklah sampai tahap nak mengejar atau mencarinya.

“Saya tahu dia memang nak menjauhkan diri daripada saya apatah lagi nak kembali bersama. Mungkin apa yang berlaku itu membuatkan dia sangat terluka. Bagaimanapun, saya sudah memohon maaf.

“Malah, sebelum pergi menunaikan umrah awal Januari lalu, saya ada berjumpa dengannya,” katanya.

Syazwan berkata, dia tidak menyalahkan sikap Shenty itu kerana memahami keadaan sekeliling yang tidak membenarkan segalanya kembali seperti biasa.

Disebabkan perasaan cintanya masih utuh, Syazwan mengakui sehingga sekarang dia belum ‘move on’ dan tidak bersedia menerima kehadiran wanita lain.

“Saya tak malu nak beritahu, walaupun sudah lima bulan kami putus saya belum boleh menerima hakikat. Dalam erti kata lain, saya belum ‘move on’. Dalam diri ini masih ada cinta.

“Malah, saya tidak boleh menonton saluran Astro Ria kerana bimbang terpandang wajahnya. Cukup sekadar saya memendam rasa dan rindu terhadapnya,” katanya.

Masih ada tawaran berlakon

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Suamiku Mr Perfect 10 ini menafikan khabar angin yang mengatakan dia kurang mendapat tawaran berlakon berikutan kontroversi itu.

“Kalau nak tahu, sepanjang tahun lalu saya sibuk menjalani penggambaran dan semua drama itu belum ditayangkan.

“Saya pelik kenapa orang cakap saya tak ada kerja. Sedangkan apa yang berlaku tidak sedikit pun menjejaskan periuk nasi saya. Tetapi itulah sikap segelintir masyarakat kita yang suka bercakap tanpa usul periksa,” katanya.

Menurut Syazwan, cakap-cakap yang dilemparkan terhadapnya dianggap sekadar angin lalu.

Sikapnya yang tidak suka ambil tahu apa yang berlaku membuatkan dia lebih tenang dalam berkarya.

“Alhamdulillah, sekarang ini saya sibuk menjalani penggambaran drama Cinta Roller Coaster. Kemudian, saya terbabit dalam telefilem khas bagi Anugerah Tribute P Ramlee.

“Setiap apa yang berlaku sedikit pun tidak mengganggu kerja saya. Tidak kisah orang nak cakap apa mengenai saya. Apa yang penting keluarga, sahabat dan orang yang pernah bekerja dengan saya tahu siapa saya sebenarnya,” katanya.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");