Panasnya Hari Ini

Tuduhan Dilemparkan Kepada Dr Zakir Naik Keterlaluan – PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hasan menyifatkan kenyataan, tuduhan, amaran dan kata nista yang dilemparkan kepada pendakwah terkenal dunia, Dr Zakir Naik adalah keterlaluan.

Tambah malang lagi, kata Nasrudin, perkara tersebut berlaku dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan demokrasi, tetapi tidak menghormati prinsip demokrasi.

“Dr Zakir Naik hanya berhujah dan mengemukakan pandangan beliau mengenai keindahan Islam dan mengemukakan perbandingan agama.

“Kenapa tidak hujah dilawan dengan hujah? Kenapa mesti hujah dihadapkan dengan caci nista sehingga menggelarnya syaitan dan sebagainya?

“Kenapa hujah mahu dihentikan dengan kuasa lalu menghalang dan mahu menghalau beliau dari terus berhujah,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, terdapat banyak kes penghinaan terhadap Islam berlaku di negara ini oleh pihak tertentu sama ada Muslim yang jahil atau bukan Islam, tetapi mereka bebas atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.

Berikutan itu, beliau mewakili PAS dengan tegas tidak bersetuju malah menentang sebarang usaha penghinaan ke atas agama lain.

“Namun persoalannya, apakah Dr Zakir Naik menghina agama lain? Jika benar, lampirkan bukti dan jika sabit kesalahan maka ambillah tindakan.

“Saya sarankan ‘penyerang-penyerang’ Dr Zakir Naik tidak melancarkan serangan jarak jauh. Sama ada datang sendiri ke majlis Dr Zakir Naik lalu bertemu mata dan berhujah langsung dengan beliau atau bila-bila masa boleh memanggil Dr Zakir Naik untuk berhujah secara ilmiah sementara anda boleh berusaha untuk menafikan hujah yang dikemukakan oleh Dr Zakir Naik,”ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan satu program Dr Zakir Naik di Melaka pada 17 April ini yang bertajuk ‘Persamaan antara Islam dan Hindu’ dibatalkan kerana didakwa akan menyentuh sensitiviti penganut agama lain.

“Perbandingan agama hanya satu hujah untuk membezakan antara Islam dengan agama lain.

“Malah Al-Quran sebagai kitab suci umat Islam banyak mengemukakan perbandingan Islam dengan agama lain bagi membuktikan Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah.

“Apakah nanti Al-Quran juga tidak boleh dibaca dan diamalkan di Malaysia?,”soal Nasrudin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");