Panasnya Hari Ini

Tun M Masih Ingin Menguasai Pentadbiran Negara- PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengganggu pentadbiran negara adalah disebabkan beliau masih ingin menguasai pentadbiran negara ini.

Memetik laporan Bernama, bekas perdana menteri jelasnya itu masih mahu menguasai pentadbiran negara kerana mempunyai agenda tertentu termasuk kemungkinan mahu meletakkan anaknya dalam kepimpinan negara atau kemungkinan disebabkan terdapat projeknya yang tidak ditunaikan.

“Dr Mahathir lupa bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau sendiri enggan diganggu oleh mana-mana pihak dan tidak mahu sesiapa membantahnya dengan mengamalkan cara “do it my way or you are no way” (buat ikut cara saya atau awak tidak akan dapat),” katanya dalam satu rakaman wawancara khas yang disiarkan saluran televisyen I-News di Jakarta malam ini.

Tambahnya lagi, Dr Mahathir juga berkemungkinan telah lupa bahawa beliau adalah penyokong setianya selama 22 tahun malah menyokong kuat bekas presiden parti itu ketika hampir separuh daripada anggota parti tidak menyokong kepimpinannya.

Ujar Najib lagi, kini sebagai perdana menteri yang diberi mandat, beliau menentukan dasar negara dengan cara yang lebih terbuka dan membuat sesuatu keputusan secara berbincang dengan para pemimpin lain dalam kerajaan dan begitu juga dalam kepimpinan parti, beliau bersandar kepada prinsip yang sama.

“Bila saya jadi Perdana Menteri saya harus diberi kepercayaan untuk mentadbir negara. Saya terima pendapat tetapi saya tidak mahu mengenepikan prinsip iaitu saya Perdana Menteri yang sah dan saya tetap akan memimpin mengikut pertimbangan saya yang terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya.

Seseorang pemimpin juga tegasnya perlu mempunyai prinsip dan maruah diri kerana mereka akan dinilai dan dihukum oleh sejarah mengenai legasi yang ditinggalkan.

“Ini bermakna, jika kita tidak mempunyai apa-apa lagipun, sekurang-kurangnya kita masih ada maruah diri, jadi kalau korbankan prinsip, sejarah akan menghukum kita,” katanya.

Jelasnya lanjut, politik di Malaysia pada dasarnya adalah stabil kerana undang-undang telah termaktub bahawa kerajaan tidak boleh diubah menerusi demonstrasi jalanan walaupun rakyat diberi kebebasan bersuara.

“Hakikatnya politik di Malaysia stabil, apa yang mereka lihat itu (demonstrasi jalanan) saya anggap sebagai ‘noise level’ sebab untuk melakukan sesuatu perubahan di Malaysia mesti tertakluk kepada perlembagaan iaitu sesiapa yang majoriti di Parlimen, maka boleh menubuhkan kerajaan,” katanya.

Najib menegaskan bahawa di Malaysia sesiapa yang menjadi presiden parti terbesar (UMNO) dalam Parlimen maka dia akan jadi Perdana Menteri dan sesiapapun tidak boleh menukar kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

“Kita tidak mahu menukar demonstrasi jalanan menjadi ‘democrazy’ dan rakyat boleh membuat perubahan memilih kerajaan dalam masa lima tahun.

“Kita mesti ada rasa tanggungjawab dengan pemikiran yang rasional bahawa kita mesti berpandukan kepada demokrasi kedaulatan undang-undang iaitu berpaksi kepada prinsip demokrasi di mana rakyat ada hak pilih kerajaan,” katanya.

Beliau selaku Presiden UMNO berkata, pengalamannya selama 40 tahun dalam politik telah memberi kelebihan kepadanya mendapat sokongan kerana beliau mempunyai kekuatan dari segi kenalan kawan-kawan seperjuangan dan sokongan secara peribadi sejak di peringkat pergerakan Pemuda UMNO lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");