Berita Hari Ini

Dalang pemalsuan pasport diburu – TPM

PUTRAJAYA: Siasatan awal Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati ada individu dalaman pangkat bawahan terbabit dengan sindiket penyeludupan migran antarabangsa yang ditumpaskan polis, baru-baru ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah hasil pengintipan lebih dua bulan berdasarkan aduan awam dan laporan media berhubung beberapa penyelewengan yang merosakkan imej jabatan walaupun yang melakukannya berpangkat rendah.

“Polis mengesan beberapa individu dalaman berpangkat tidak berapa tinggi menjalankan pemalsuan pasport dan bolos sempadan.

“Kita tidak memilih bulu dan buta warna, sesiapa sahaja yang melakukan penyelewengan merosakkan imej organisasi.

“Selain tindakan dalaman, kita bawa mereka ke mahkamah kerana merosakkan imej jabatan, kementerian dan negara hingga sanggup menggadai hak rakyat kepada orang lain untuk dapatkan wang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini, sebentar tadi.

Baru-baru ini, polis menahan 19 individu, termasuk dua pegawai Jabatan Imigresen dipercayai terbabit dengan sindiket penyeludupan migran antarabangsa.

Modus operandi sindiket itu ialah membawa masuk warga Sri Lanka dan memproses penghantaran mereka ke negara ketiga, kebanyakannya ke Switzerland, menggunakan pasport Malaysia tulen yang dipalsukan.

Mereka ditahan dalam operasi Polis Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara 12 April dan 6 Mei lalu.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");