Panasnya Hari Ini

“Mari ‘Bertumbuk’ Di Sungai Besar Dan Kuala Kangsar”

KUALA LUMPUR : Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata, parti pembangkang tidak akan menabur fitnah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, apatah lagi bersikap samseng.

“Saya juga nak ingatkan kita turun ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan dengan fitnah, bukan dengan tohmahan atau serangan peribadi serta bukan nak tumbuk orang itu dan orang ini.

“Sekarang menteri Kabinet pun dah jadi gangster nak tumbuk orang itu, nak tumbuk orang ini. Mari ‘bertumbuk’ dengan rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar,”ujarnya, lapor Malaysiakini.

Meskipun Azmin tidak menyebut nama menteri berkenaan, tetapi ucapannya itu jelas menunjukkan beliau menujukan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.

Terdahulu, Nazri dilaporkan berkata bahawa beliau tidak ada masalah untuk ‘bertumbuk’ dengan pengkritik perdana menteri seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau menteri boleh bersifat gangster, apakah kita boleh meletakkan harapan kepada Malaysia dan barisan Kabinet yang ada sekarang?

“Sebab itu kita turun ke Sungai Besar dengan rekod dan fakta kejayaan. Kita telah lakukan reformasi di Selangor, Pulau Pinang dan rakyat telah bangkit, kita ada cerita kejayaan,”katanya.

Dalam masa yang sama, ADUN Bukit Antarabangsa itu turut yakin bahawa keputusan serta perubahan yang akan dipamerkan rakyat di kedua-dua PRK ini adalah bukti jelas bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berundur.

“Inilah masa dan ketika rakyat di kedua-dua kawasan ini diberi peluang sekali lagi menyaksikan perubahan yang besar dan saya yakin kemenangan rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah mesej yang cukup jelas Najib mesti berundur,”jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");