Sukan Hari Ini

Minat jadi doktor

Zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti lasak. Memanjat pokok, terjun sungai dan bermain dengan budak-budak lelaki rutin hariannya di Kampung Kupuo Jugan, Bau Sarawak.

Siapa tidak kenal Pandelela Rinong Pamg atau dipanggil Nong oleh ibunya, di kampung itu. Seorang kanak-kanak perempuan yang lasak dan bersifat tomboi, mengalahkan kelasakan kanak-kanak lelaki sehingga kadang kala mencetuskan kebimbangan kepada keluarganya.

“Saya akan mengikut abang dan kawan-kawannya mandi di sungai atau memanjat pokok. Kami kerap mencari tempat tinggi untuk terjun ke dalam sungai. Ia sesuatu yang menyeronokkan tanpa kami memikirkan mengenai bahaya,” imbas Pandelela.

Begitupun di sebalik kelasakan itu, Pandelela seorang anak yang mendengar kata malah sangat prihatin dengan nasib keluarganya. Dalam diam, Nong menyimpan cita-cita untuk mengubah nasib keluarganya.

“Saya sebenarnya nak jadi doktor,” dedah Pandelela. “Pada ketika itu, apa yang saya fikirkan hanya dengan pekerjaan berkenaan, saya mampu mengubah nasib keluarga. Ayah saya hanya seorang buruh binaan manakala ibu suri rumah.

“Walaupun hidup kami tidak terlalu susah dan boleh dianggap sederhana, saya bercita-cita memberi lebih keselesaan kepada ibu bapa dan adik-beradik saya apabila dewasa kelak. Sebab itu saya nak jadi doktor.

“Tapi, tidak menduga pula sukan terjun yang mengubah kehidupan saya sekeluarga. Mungkin ini bakat dikurniakan Tuhan yang pada awalnya saya tidak sedar. Rupa-rupanya kegemaran saya yang suka terjun sungai di kampung seolah-olah pendedahan awal dalam sukan ini.

“Oleh itu bila dipilih untuk menyertai sukan ini, saya tidak sedikit pun kekok atau gayat terjun dari tempat tinggi,” ujar Pandelela yang mula dikesan bakatnya sejak dalam darjah satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Stampin, Kuching.

Namun, tidak ramai yang tahu, sukan terjun bukan ‘cinta nombor satu’ Pandelela sebaliknya jika diberi pilihan ketika itu dia lebih berminat menceburi diri dalam sukan gimnastik. Ini kerana dia sangat tertarik dengan gerak dan liuk lintuk tubuh seorang gimnas.

“Saya suka menonton sukan gimnastik dan jika diberi pilihan mahu menceburi gimrama terutama dalam acara lantai dan riben. Warna riben yang berwarna-warni itu sangat menarik perhatian saya.

“Tapi, guru lebih nampak bakat dalam sukan terjun, jadi saya hanya mengikut kehendak mereka. Begitupun lama-kelamaan saya semakin menyukai acara ini kerana terjun dari tempat tinggi dan air adalah sebahagian daripada kehidupan saya di kampung,” kata gadis berusia 23 tahun itu.

Ternyata Pandelela memang ‘dilahirkan’ sebagai penerjun kerana kariernya terus meningkat terutama selepas bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tabuan Jaya. Seterusnya dia dipilih menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur.

Sejak itu gadis daripada etnik Bidayuh ini mula mencipta beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa. Antara kejayaan awalnya ialah memenangi pingat gangsa acara 10 meter platform seirama bersama Leong Mun Yee di Kejohanan Akuatik Dunia 2009.

Pandelela juga memenangi dua perak acara 10m platform dan 3m platform papan anjal di Kejohanan Olimpik Remaja di Singapura pada 2010. Di Sukan Komanwel New Delhi 2010, dia memenangi emas acara 10m platform.

Bagaimanapun pencapaian terbaik Pandelela setakat ini ialah menaiki podium Sukan Olimpik 2012 London sebagai pemenang gangsa acara 10m platform individu.

Di samping itu, dia turut memenangi gangsa acara kegemarannya di Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Russia pada Julai 2015, sekali gus melayakkan dirinya ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Kini, Pandelela sedang membuat persiapan rapi untuk menghadapi Olimpik Rio pada Ogos. Walaupun ramai yang meragui kemampuannya kali ini susulan beberapa siri kegagalan dalam kejohanan antarabangsa sepanjang 2016, Pandelela tetap menjadi sandaran utama negara untuk membawa pulang sebutir pingat.

Begitupun, biar sebagaimana sibuk sekalipun dengan latihan dan kejohanan, Pandelela tetap mencuri ruang masa untuk mendengar muzik K Pop terutama kumpulan Big Bang.

“Ia sebenarnya menjadi terapi kepada saya untuk menghilangkan keletihan dan tekanan. Sambil mendengar lagu, saya turut menyanyi dan menari,” katanya.

Pandelela juga mendedahkan, dia turut meminati karakter Totoro, watak dalam siri anime Jepun, My Neighbour Totoro.

“Saya suka mengumpul apa saja berkaitan Totoro seperti barangan mainan dan anak patung. Selain itu saya mempunyai pelbagai barangan Totoro seperti beg, baju, topi dan cadar,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");