Berita Hari Ini
Like

PPR sarang lepas gian

May 15, 2016
118 Views
0 Comments
1 minute read
PPR sarang lepas gian

Kuala Lumpur: Enam penagih dadah berusia 25 hingga 60 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Kelantan, di sini, berakhir awal pagi, semalam.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, operasi yang dijalankan untuk mengesan penyalahgunaan unit rumah PPR turut memeriksa 15 orang disyaki penagih dan hasil ujian saringan awal mendapati enam daripadanya positif syabu dan heroin.

“Operasi siri kelima tahun ini disertai 117 anggota membabitkan penguat kuasa DBKL, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wangsa Maju dan persatuan penduduk bermula jam 10 malam kelmarin hingga 1 pagi semalam.

“DBKL terima banyak aduan mengenai unit PPR ini yang dijadikan sarang penagih dadah melepaskan gian terutama unit kosong dan kita akan terus menangani penyalahgunaan ini melalui operasi berterusan,” katanya pada sidang media selepas operasi itu berakhir.

Pada malam itu, 24 unit daripada 791 unit diperiksa selepas bancian awal yang mendapati mereka melanggar syarat perjanjian penyewaan mengikut Undang-undang Kecil Perumahan Awam Wilayah Persekutuan 2000.

Hasilnya, kata Mohd Muzammer, 18 notis dikeluarkan kerana unit PPR didiami penghuni tidak sah iaitu bukan pemilik asal dan dua kompaun dikeluarkan atas kesalahan membabitkan motosikal.

“Mereka diberikan notis amaran 14 hari untuk mengemukakan rayuan atau mengosongkan unit dan sekiranya gagal selepas tempoh itu, tindakan merampas kediaman akan dilakukan selain mengunci bekalan air,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat

Leave a Reply