Panasnya Hari Ini

1MDB : Muhyiddin Ulangi Agar Najib, Anggota Kabinet Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh anggota Kabinet perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas skandal penyelewengan 1MDB yang didedahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, pendedahan terbaru oleh Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) mengesahkan berlakunya kegiatan penggubahan wang haram dalam urusniaga BSI Bank di Singapura yang melibatkan 1MDB.

“ Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Mei 2016, FINMA yang menjalankan prosiding penguatkuasaan ke atas pegawai-pegawai BSI Bank di Singapura mendapati kegiatan penggubahan wang haram ini melibatkan urusniaga berjumlah ratusan juta dollar Amerika Syarikat dalam 100 akaun di bank berkenaan.

“Siasatan FINMA mendapati dalam tempoh antara 2011 hingga April 2015, pihak bank telah gagal mengenalpasti urusniaga-urusniaga dalam skala besar yang berisiko tinggi mahupun menjelaskan sumber aset-aset yang diurusniaga.

“Kesemua urusniaga ini adalah berkaitan dengan perniagaan yang melibatkan individu-individu yang terdedah secara politik (politically exposed persons) yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

“Beberapa fakta penting yang didedahkan oleh FINMA menunjukkan pihak bank bersubahat dalam kegiatan penggubahan wang haram yang berlaku dalam skala yang besar,”katanya, menerusi satu kenyataan, hari ini.

Antara pendedahan terbaru ialah pihak bank berpuas hati dengan penjelasan pelanggan , iaitu individu yang yang mempunyai hubungan dengan 1MDB, bahawa deposit berjumlah RM81.6 juta adalah ‘hadiah’, selain daripada sejumlah RM400 juta dikreditkan dalam satu akaun tanpa dijelaskan latarbelakang komersilnya.

1mdb

Selain itu, terdapat bukti urusniaga ‘pass-through’ yang membayangkan berlakunya kegiatan penggubahan wang haram dan pihak bank menjalankan urusniaga lain yang melibatkan sejumlah wang yang serupa walaupun dalam sesetengah kes penjelasan dan dokumen kontrak yang diperolehi adalah bertentangan dengan tujuan akaun-akaun berkenaan dibuka.

Muhyiddin berkata, kesemua fakta ini menunjukkan telah berlaku aktiviti penggubahan wang haram dalam skala besar yang melibatkan wang berjumlah ratusan juta dollar dalam urusniaga yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Saya mengulangi penegasan saya sebelum ini bahawa Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas segala penyelewengan yang berlaku dalam syarikat 1MDB kerana beliau selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB terlibat secara langsung dalam membuat keputusan-keputusan transaksi syarikat.

“Kerana penyelewengan inilah 1MDB menanggung liabiliti berjumlah RM53 bilion pada masa ini yang sekiranya tidak dapat dibayar oleh syarikat, maka akhirnya kesemua tanggungan ini terpaksa dibayar oleh kerajaan menggunakan wang cukai yang dikutip daripada rakyat,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");