Membawang Hari Ini

Impian Fattah tercapai

Kehebatan pelakon berkaliber Datuk Rosyam Nor membawa setiap watak dalam filem atau drama lakonannya tidak perlu dipertikaikan.

Justeru, ia menjadi inspirasi buat pelakon berbakat besar Fattah Amin, 25, dan menyimpan impian untuk berganding dengan pelakon tersohor itu.

Impian itu akhirnya tercapai apabila mereka digandingkan dalam filem terbaru berjudul KL Special Force.

Fattah berkata, dia mengikuti perkembangan kerjaya Rosyam sejak di bangku sekolah lagi.

“Kalau boleh, saya mahu berlakon sepertinya. Dia begitu handal ketika beraksi dalam setiap naskhah yang ditawarkan, malah lakonannya tidak pernah mengecewakan penonton.

“Alhamdulillah impian untuk berlakon di sampingnya tercapai. Rosyam adalah guru kepada saya dan tidak dinafikan banyak ilmu yang perlu saya timba sepanjang menjalani penggambaran bersamanya.

“Apabila diberitahu beliau bakal terbabit dalam filem ini, saya sangat teruja dan gembira. Lebih-lebih lagi, kami mempunyai banyak babak bersama,” katanya.

Menurut pelakon yang kini bahagia bersama kekasihnya yang juga pelakon Sherry Ibrahim, pengalaman berlakon filem buat pertama kali selepas hampir empat tahun mencanai bakat dalam industri lakonan tanah air adalah sesuatu yang baru dan menyeronokkan.

“Ia pengalaman menyeronokkan, tetapi berlakon filem berbeza secara total dengan drama.

“Pertama kali menjejakkan kaki ke set penggambaran filem saya terkejut melihat kelengkapannya yang serba canggih dan kamera yang begitu banyak selain mempunyai tenaga produksi lebih ramai.

“Berlakon filem juga memerlukan penghayatan lebih besar dan berat serta persediaan awal perlu dibuat. Dua bulan sebelum menerima tawaran ini, saya membuat beberapa persiapan seperti menjalani latihan seni mempertahankan diri dan bersenam di gimnasium,” katanya yang membawa watak sebagai anggota polis bernama Zul.

Lakon sendiri aksi lagak ngeri

Ditanya kenapa baru sekarang dia menerima tawaran berlakon filem, pelakon yang popular menerusi drama Hello Mr Perfect ini berkata, baru kini dia mempunyai kelapangan untuk berlakon filem.

“Sebenarnya, saya banyak menerima tawaran berlakon filem sebelum ini, tetapi disebabkan jadual kerja yang bertindih, saya terpaksa melupakan hasrat itu.

“Kali ini rezeki untuk membintangi filem nampaknya berpihak kepada saya. Tanpa berfikir panjang saya menerimanya selepas melihat barisan pelakon yang hebat dan filem ini diarahkan Shafiq Yusof,” katanya yang melakukan aksi lagak ngeri dalam filem itu bagi merasai sendiri pengalaman itu.

Menerusi filem itu, Fattah juga perlu lasak termasuk melakukan aksi lagak ngeri berisiko tinggi seperti terjun dari bangunan.

“Saya sangat puas apabila berpeluang melakukan aksi lagak ngeri dalam filem itu. Sebelum ini, saya selalu melihat pelakon antarabangsa melakukan aksi ngeri dalam filem mereka dan saya sendiri mahu mencubanya.

“Apabila diberikan peluang keemasan itu, saya puas kerana dapat melakukan beberapa aksi lagak ngeri buat pertama kali dalam kerjaya saya,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");