Berita Hari Ini

Lanjut tempoh latihan PLKN

SUNGAI PETANI – Kerajaan Pusat digesa memanjangkan tempoh latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi menguatkan jati diri dan rasa cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, tempoh latihan wajar dipanjangkan agar mereka lebih menghayati betapa pentingnya pengukuhan jati diri.

“Kita ada modul PLKN, secara peribadi saya berpandangan ia perlu diperkukuhkan lagi supaya golongan muda dapat menghayati jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia. Maksudnya, kalau sebelum ini jangka masa tiga bulan, mungkin boleh dipanjangkan lagi.

“Dalam masa sama, kerajaan juga mungkin boleh mempertimbangkan untuk membenarkan tentera memainkan peranan sepenuhnya dalam pengurusan PLKN, yang mana ia dilihat berupaya memberikan kesan lebih positif terhadap diri pelatih PLKN,” katanya.

Badrol Hisham berkata, saranan meneliti semula modul PLKN itu dibuat berikutan kebimbangannya terhadap situasi semasa yang mana golongan muda dilihat lantang melontarkan kata-kata kesat dan penghinaan tanpa rasa kesal.

“Akhir-akhir ini kita lihat ada individu yang memperlekehkan negara menggunakan media sosial, ia satu trend yang tidak sihat dan perlu dibanteras habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sungai Petani,di Hotel SP Inn di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada PBTM.

Sementara itu, Pengerusi PBTM Cawangan Sungai Petani, Mohd Sattar Saad berkata, sehingga kini terdapat lebih 7,000 veteran tentera di seluruh negeri ini belum mendaftar dengan PBTM.

Menurutnya, semua veteran terlibat digesa berdaftar bagi membolehkan persatuan menyalurkan kemudahan dan bantuan disediakan.

“Di negeri ini, terdapat kira-kira 15,000 bekas tentera tetapi daripada jumlah ini hampir 7,000 masih belum berdaftar dengan persatuan.

“Bagi yang sudah berdaftar pula, mereka diminta mengemas kini maklumat terbaru,” katanya.

Mohd Sattar berkata, cawangannya kini mempunyai seramai 3,111 bekas tentera yang berdaftar.

“Menerusi PBTM, bukan setakat membantu kebajikan ahli persatuan, malah pihak kami juga menjalankan pelbagai program kebajikan kepada bukan ahli daripada dana yang diusahakan sendiri,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");