Isu Panas

Semua parti perlu amal budaya politik matang, sederhana

KOTA BHARU – Budaya Politik Matang dan Sederhana (BPMS) yang diperjuangkan Pas perlu diamalkan oleh semua parti politik di Malaysia demi mewujudkan suasana lebih sejahtera dan harmoni.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana, BPMS yang bukan hanya disasarkan kepada Pas itu diyakini mampu merubah landskap politik negara secara menyeluruh jika diamalkan semua pihak.

“Ia mampu membawa perubahan, sekiranya diamalkan semua pihak termasuk parti kerajaan dan pembangkang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Pas Kali ke- 62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob, dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, budaya politik yang diamalkan sekarang adalah tinggalan penjajah Barat di mana kuasa kewangan, manipulasi media, perang persepsi, permusuhan, perebutan kuasa dan matlamat menghalalkan cara.

“Ia jauh dari prinsip berasaskan kebenaran dan ilmu, halal serta haram, apatah lagi amalan terbaik politik hari ini seolah-olah tiada kaitan dengan dosa dan pahala,” katanya.

Abdul Hadi mendakwa, bagaimanapun, malang sekali, apabila sejak sebelum merdeka hingga sekarang, budaya berpolitik negatif ini diteruskan oleh parti- parti politik yang tidak berteraskan perjuangan Islam.

“Sedangkan rakyat memerlukan budaya politik baru yang bersifat bijaksana, matang, dan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat untuk membawa mereka bersama dalam membangunkan negara dan berharmoni,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, BPMS menggariskan tujuh ciri utama yang perlu dihayati oleh seluruh pimpinan dan ahli parti iaitu, Politik Bertunjangkan Prinsip, Dakwah dan Amar Makruf Nahi Mungkar, Penyelesaian Berasaskan Islam, Politik Utamakan Rakyat, Politik Damai dan Diplomasi, Politik Kebenaran bukan Persepsi, Politik Rasional serta Profesional.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");