Berita Hari Ini

Op Laju mula kesan pemandu bas di lebuh raya

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mula melaksanakan ‘Op Laju’ bagi mengesan pemandu kenderaan perdagangan terutamanya bas ekspres yang memandu di lorong kanan secara berterusan di sepanjang lebuh raya di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, operasi khas itu akan dilaksanakan secara berterusan dan bukannya pada musim perayaan sahaja bagi memastikan pemandu bas ekspres memandu di laluan yang betul.

“Kita banyak menerima aduan tentang tindakan pemandu bas ekspres yang memandu di lorong kanan dan bukannya di lorong kiri. Perbuatan ini amat berbahaya kepada penumpang dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Mereka (bas ekspres) hanya dibenarkan berada di lorong kanan untuk memotong sahaja dan perlu masuk semula di laluan kiri bagi meneruskan pemanduan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas lawatan kerja beliau ke JPJ Melaka dan menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri JPJ Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan dan Pengarah JPJ Melaka Mohd Fadhil Hassan.

Mengulas lanjut, Nadzri berkata, tiga strategi dilaksanakan sepanjang Op Laju iaitu rondaan secara intensif anggota JPJ di sepanjang lebuh raya menggunakan kenderaan JPJ, penyamaran anggota penguat kuasa di dalam bas dan penyamaran anggota menggunakan kenderaan tidak berlogo jabatan berkenaan.

Beliau berkata saman sebanyak RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu yang didapati tidak memandu di lorong kiri dan bas ekspres yang didapati mempunyai rekod kesalahan lampau yang banyak akan disita mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pada masa sama, operasi ini juga akan melihat pada tujuh kesalahan utama yang kerap menjadi punca kemalangan jalan raya iaitu melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memandu lebih daripada had laju dibenarkan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar serta mengekori rapat kenderaan hadapan.

Katanya tindakan sama akan diambil terhadap kenderaan berat seperti lori dan treler yang didapati turut memandu di lorong kanan secara berterusan.

Dalam perkembangan lain, Nadzri berkata, sebanyak 2,212 Notis 114/115 dikeluarkan kepada pemandu jalan raya melibatkan 2,683 kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan sepanjang Op Hari Raya pada 22 Mei hingga 29 Julai lepas.

“Sepanjang tempoh itu juga, kita menerima sebanyak 796 aduan bergambar pelbagai kesalahan pengguna jalan raya dan kita akan mengambil tindakan berdasarkan bukti tersebut,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");