Jenayah

Pemandu nekad rempuh peragut

SEREMBAN: Seorang lelaki yang menyaksikan kejadian ragut di sebuah restoran, bertindak merempuh motosikal dinaiki dua suspek berkenaan dengan kenderaannya di Senawang, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang di Taman Guru itu, dua lelaki meragut beg tangan seorang daripada dua wanita yang makan di sebuah restoran di situ.

Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang ternampak pekerja restoran mengejar suspek, turut serta mengejar dan melanggar motosikal dinaiki dua penjenayah berkenaan.

Kedua-dua suspek terjatuh dari motosikal lalu ditangkap oleh pekerja restoran dan kemudian diserahkan kepada polis. Kenderaan pacuan empat roda lelaki berkenaan pula hanya mengalami kerosakan kecil pada bahagian hadapan.

Kejadian itu kemudian viral di Facebook apabila gambar insiden berkenaan dimuat naik oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata dua suspek berusia 31 dan 32 tahun itu diberkas berhampiran Taman Desa Duranta, iaitu kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mereka menggunakan motosikal Yamaha LC135 dengan nombor pendaftaran palsu,” katanya, di sini hari ini.

Katanya, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan samun berkumpulan pada 2010.

“Mereka direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 8 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, iaitu samun berkumpulan,” katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179235

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");