Sukan Hari Ini

Impi aksi Olimpik

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) yakin sukan berkenaan berada di landasan tepat untuk disenaraikan ke Olimpik.

Menurut Timbalan Presiden 1 ISTAF Datuk Ahmad Ismail, pihaknya kini bersedia mengembangkan sepak takraw ke setiap benua bagi merealisasikan impian tersenarai pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Katanya, mereka kini menetapkan tempoh sehingga dua tahun bagi menarik keanggotaan sekurang-kurangnya 20 negara bergabung di bawah ISTAF.

“Antara syarat yang diberikan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) adalah ISTAF perlu mempunyai 50 ahli gabungan. Kami kini mempunyai 30 negara,” kata Ahmad.

Tambahnya, sekiranya mereka dapat memenuhi syarat berkenaan serta beberapa ketetapan lain, mereka berpeluang untuk diiktiraf IOC dan terpilih sebagai sukan pertunjukan di Olimpik Tokyo 2020.

Ia bakal memberi peluang cerah untuk sepak takraw tersenarai ke Olimpik 2024,” katanya.

Menjelaskannya dengan lebih lanjut, Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata, usaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 20 negara adalah tidak mustahil dengan strategi tertentu yang bakal dilaksanakan.

“Kami akan melancarkan Persekutuan Sepak Takraw Asia Tengah pada tahun depan yang diketuai Iran sekali gus menarik minat negara yang berhampiran seperti Tajikistan dan sebagainya.

“Kami turut berkeyakinan menarik minat sekurang-kurangnya 10 negara Afrika dengan menjadikan Cape Town di Afrika Selatan sebagai pusat. Malah turut menggiatkan penyertaan negara di benua Eropah,” tambahnya.

Situasi berkenaan menyebabkan sepak takraw akan memperkenalkan acara baru dalam masa terdekat iaitu perseorangan dan enam sebelah.

Malah, sistem 21 mata bakal dikekalkan untuk merealisasikan impian ke Olimpik walaupun terdapat negara yang mahu ia kembali ke sistem 15 mata.

Pada masa sama, Abdul Halim turut mengumumkan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Ahmad sebagai Timbalan Presiden pada pertengahan bulan ini.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");